Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga pagi ini

Bernama
Mei 30, 2023 03:30 MYT
Pada 9.09 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6040/6080 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada paras 4.6030/6060. -Gambar hiasan/Reuters
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga pagi Selasa menjelang keputusan mengenai siling hutang AS.
Pada 9.09 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6040/6080 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada paras 4.6030/6060.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beliau menjangkakan gandingan dolar AS/ringgit didagangkan dalam julat sempit hari ini pada sekitar RM4.60.
Beliau menambah risiko kelewatan dalam membuat keputusan mengenai siling hutang AS boleh menyebabkan pasaran mata wang kekal berhati-hati, sekali gus menjurus kepada permintaan yang berterusan untuk mata wang selamat seperti dolar AS.
"Jadi semua mata akan tertumpu pada Capitol Hill memandangkan tarikh akhir 5 Jun semakin hampir," katanya.
Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan menyusut nilai untuk mencatatkan paras 3.2862/2893 berbanding yen Jepun daripada 3.2820/2844 pada penutup Isnin, merosot berbanding euro kepada 4.9341/9384 daripada 4.9330/9363, dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.6928/6978 daripada 5.6829/6866 semalam.
Berbanding mata wang Asean pula, ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah.
Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 13.2829/2995 daripada 13.2316/2463 dan susut berbanding dolar Singapura menjadi 3.4041/4075 daripada 3.4016/4043 pada Isnin.
Mata wang tempatan lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 307.4/307.9 daripada 307.3/307.7 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.20/8.21.
-- BERNAMA
#dolar AS #ringgit #Mohd Afzanizam Abdul Rashid #Bank Muamalat