Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Bernama
September 18, 2024 09:50 MYT
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini kerana peserta pasaran menggunakan pendekatan tunggu dan lihat menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan S mengenai penurunan kadar faedah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana peserta pasaran menggunakan pendekatan tunggu dan lihat menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS mengenai penurunan kadar faedah.
Pada 8.13 pagi, ringgit susut kepada 4.2610/2785 berbanding dolar US daripada 4.2535/2645 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat pandangan bercampur-campur mengenai penurunan kadar kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS hari ini.
"Ketidakpastian ini telah menyebabkan kebimbangan kerana Fed AS mungkin mengambil pendekatan secara beransur-ansur manakala pasaran kelihatan lebih gemar sekiranya diturunkan sebanyak 0.5 mata," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, Indeks Dolar AS naik sedikit, meningkat 0.24 peratus kepada 101.002 mata, manakala hasil nota Perbendaharaan AS dua tahun meningkat sebanyak 5.0 mata asas kepada 3.60 peratus.
"Setakat ini, ringgit telah menunjukkan prestasi menggalakkan berbanding dolar US kerana ia terus meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan.
"Paras sokongan dan rintangan semasa masing-masing berada pada RM4.2128 dan RM4.3259 dan ringgit nampaknya cenderung ke paras sokongan ketika ini," katanya.
Beliau berkata, aliran dana dalam pasaran ekuiti menunjukkan bahawa pelabur asing telah menjadi pembeli bersih pada bulan September, menunjukkan permintaan yang lebih tinggi untuk ringgit.
"Sehubungan itu, kadar pertukaran MYR/USD mungkin tidak berubah susulan peniaga menunggu keputusan FOMC malam ini," katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.6088/6318 daripada 5.6240/6385 ketika ditutup pada Selada dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.0026/0152 daripada 3.0244/0324 semalam bagaimanapun ia merosot berbanding euro kepada 4.7391/7585 daripada 4.7375/7498 sebelum itu.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2883/3021 daripada 3.2891/2979 pada penutupan Selasa, merosot berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.69 daripada 7.64/7.66, menguncup berbanding rupiah kepada 277.8/279.1 daripada 277.3/278.2 sebelum itu namun naik berbanding baht Thailand kepada 12.7476/8064 daripada 12.7725/8105 semalam. - BERNAMA
#ringgit #dolar AS #ringgit susut #Rizab Persekutuan AS
;