Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS
Bernama
Mei 30, 2024 11:45 MYT
Mei 30, 2024 11:45 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, meneruskan aliran penurunan semalam berikutan permintaan yang lebih tinggi terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu, kata penganalisis.
Pada 9.00 pagi, ringgit merosot kepada 4.7150/7190 berbanding dolar AS daripada 4.7030/7060 pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) dan hasil sekuriti Perbendaharaan AS meningkat malam semalam, menunjukkan kawalan ketat Rizab Persekutuan AS (Fed) terhadap dasar monetari akan berterusan.
DXY melepasi 105 mata selepas berada pada sekitar 104 mata selama beberapa hari manakala hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun naik enam mata asas kepada 4.61 peratus.
"Berdasarkan ini, ringgit akan kekal rendah berikutan permintaan terhadap dolar AS yang kekal kukuh," katanya kepada Bernama.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan tinggi kecuali berbanding yen Jepun.
Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 5.0903/0946 daripada 5.1032/1065 pada Rabu dan meningkat berbanding pound kepada 5.9847/9898 daripada 6.0010/0049 semalam.
Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9957/9987 daripada 2.9923/9944 pada Rabu.
Ringgit mencatatkan prestasi kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7729/7886 daripada 12.7938/8068 pada Rabu. Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 291.7/292.1 daripada 290.9/291.3 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.05/8.06 daripada 8.04/8.05 sebelum ini.
Ia turut rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4854/4886 daripada 3.4850/4875 semalam.
-- BERNAMA