Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS, hampir kepada paras tertinggi dalam 11 bulan

Bernama
Ogos 1, 2024 02:00 MYT
Ringgit dibuka lebih kukuh pada Khamis, meneruskan trajektori meningkat sembilan harinya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan berlegar hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh pada Khamis, meneruskan trajektori meningkat sembilan harinya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan berlegar hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan.
Prestasi itu dicatatkan apabila jangkaan pelabur terhadap pengurangan kadar faedah AS pada September diperkukuh susulan mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) berakhir semalam.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.5875/5945 berbanding dolar AS daripada 4.5885/5925 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan terus meningkat dan pada masa sama Indeks Dolar AS susut 0.49 peratus kepada 104.042 mata.
"Hasil Perbendaharaan AS berjangka dua tahun dan 10 tahun masing-masing susut lagi 10 dan 11 mata asas kepada 4.26 peratus dan 4.03 peratus.
"Ini berlaku apabila kenyataan FOMC menunjukkan Fed (Rizab Persekutuan AS) menjadi lebih berhati-hati dengan keadaan ekonomi dan mungkin mahu mengalihkan tumpuan ke arah mengekalkan pertumbuhan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, mata wang negara yang sedang pesat membangun lain termasuk ringgit dijangka mengekalkan kecenderungan meningkat.
Yen Jepun juga mengukuh berbanding dolar AS selepas Bank of Japan memutuskan kadar dasar mereka dinaikkan sebanyak 15 mata asas semalam, katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.9655/9731 daripada 4.9680/9723 ketika ditutup pada Rabu namun susut berbanding pound British kepada 5.8959/9049 daripada 5.8875/8926.
Unit tempatan turut rendah berbanding yen Jepun kepada 3.0645/0695 daripada 3.0515/0545 semalam.
Ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.
Mata wang domestik meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 282.0/282.7 daripada 282.1/282.5 semalam serta lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 7.85/7.87 daripada 7.86/7.87.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4332/4390 daripada 3.4273/4306 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9153/9419 daripada 12.8717/8880. - BERNAMA
#ringgit #dolar AS #Ringgit dibuka kukuh #FOMC