Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS

Bernama
Ogos 6, 2024 02:15 MYT
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4200/4300 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan prospek penurunan kadar faedah AS semakin ketara, kata seorang penganalisis.
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4200/4300 berbanding dolar AS daripada 4.4240/4305 pada Isnin.
Tahun ini, ringgit mencatatkan kenaikan yang memberangsangkan, meningkat 4.1 peratus berbanding dolar US, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.
"Dalam pada itu, ringgit melonjak berbanding mata wang serantau, naik 10.5 peratus berbanding won Korea Selatan, 9.5 peratus berbanding rupiah Indonesia, 8.6 peratus berbanding peso Filipina, 7.8 peratus berbanding baht Thailand dan 4.4 peratus berbanding dolar Singapura.
"Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung yang tidak menentu mungkin berlaku kerana peniaga mungkin terdorong mengambil keuntungan untuk sementara waktu," katanya.
Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit kekal sekitar RM4.42 hingga RM4.43 berbanding dolar US hari ini.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pengumuman Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan, kedua-duanya melebihi 50 telah mengurangkan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi yang mungkin dihadapi AS.
"Ringgit mungkin dibuka lebih tinggi sedikit apabila pelabur mengalihkan pelaburan mereka ke arah Asia," katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama bagaimanapun merosot berbanding pound Britain kepada 5.6514/6642 daripada 5.6379/6462 ketika ditutup pada Isnin.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0301/0378 daripada 3.1067/1117 dan melonjak berbanding euro kepada 4.8395/8504 daripada 4.8434/8505 sebelum ini.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 273.0/273.7 daripada 273.2/273.7 pada Isnin dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.66 daripada 7.64/7.66.
Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3343/3424 daripada 3.3485/3536 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.4405/4789 daripada 12.5528/5791 sebelum ini.
-- BERNAMA
#ringgit #dagangan #mata wang asing #dolar AS