Ringgit dalam dagangan sederhana pagi ini
Najib Aroff
Februari 6, 2017 10:43 MYT
Februari 6, 2017 10:43 MYT
Mata wang tempatan didagang sedikit tinggi dalam dagangan pembukaan minggu ini pada 4.4200 berbanding dollar AS pada 4.4360 hujung minggu lepas.
Prestasi unit tempatan banyak dipengaruhi pembentangan data gaji bukan ladang (NFP) di AS pada Jumaat lepas di mana ia menunjukkan pertumbuhan sederhana berbanding jangkaan, sekaligus membuatkan pelabur ragu-ragu terhadap hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (The Fed).
Dalam laporan NFP, meskipun AS menambah sejumlah 227,000 pekerjaan, lebih tinggi dari unjuran 175,000, namun pertumbuhan gaji perlahan serta kekurangan tekanan inflasi yang amat diperlukan The Fed untuk menentukan kenaikan kadar faedah seterusnya, membantutkan usaha berkenaan.
“Ditambah ketidaktentuan dasar pentadbiran Presiden Donald Trump, termasuk dasar tertutup dan pelan suntikan yang dijanjikan, jelas mengapa pelabur kurang berselera meskipun selepas data NFP dikeluarkan,” kata Naib Presiden FXTM Market Research, Jameel Ahmad dalam satu kenyataan.
Sementara itu dalam sesi dagangan sama, ringgit didagang rendah berbanding mata wang utama lain termasuk Euro, dan Yen.
Sepanjang minggu ini unit tempatan itu diramal berlegar sekitar 4.4000 dan 4.3500 berbanding dollar AS berikutan kelemahan mata wang asing itu di pasaran global, kata penganalisis.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan berkata, dollar AS merosot daripada paras tertinggi dalam tempoh tujuh minggu.
"Penyusutan dolar disumbang oleh persepsi negatif bahawa data ekonomi AS tidak cukup teguh untuk mewajarkan kenaikan dalam kadar faedah AS.
"Kenyataan Rizab Persekutuan selepas mesyuarat pertamanya tahun ini juga telah mencetuskan keraguan mengenai pelarasan kadar untuk mesyuarat seterusnya pada Mac," katanya.
Di pasaran tempatan, pemulihan harga minyak mentah dan komoditi lain juga memberi sokongan dalam mengukuhkan ringgit kerana ia sering dilihat sebagai mata wang komoditi, katanya.
Sementara itu Bursa Malaysia dibuka sedikit tinggi dagangan Isnin dipacu minat belian tinggi dalam beberapa saham berwajaran besar.
Pada jam 9.06 minit pagi petunjuk indeks utama FTSE Bursa Malaysia FBM KLCI berada pada 1,685.64, meningkat 0.63 mata berbanding penutup Jumaat.
Sepanjang minggu ini pula, bursa tempatan diunjur kukuh susulan kembalinya pedagang ke dalam pasaran pasca cuti Tahun Baru Cina.
Menurut Dr Nazri, prestasi Bursa tempatan juga dijangka menguji paras psikologi 1700 mata sepanjang minggu ini.
Dr Nazri berkata jangkaan pemulihan sederhana dalam sentimen risiko global akan menyokong pasaran bagi sentimen minggu ini.
"Rizab Persekutuan AS tidak dijangka menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat. Dolar Amerika akan kembali ke paras sebelum kenaikan ketara menjadikan ringgit mengukuh dan komoditi pulih.
"Bursa tempatan juga akan mendapat sokongan daripada Wall Street yang cergas," katanya.