KUALA LUMPUR: Ringgit mencecah paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan ketika ditutup pada Isnin, didorong kebimbangan yang semakin reda terhadap potensi kemelesetan di Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.3805/3580 berbanding dolar AS, dan kadar itu merupakan prestasi terbaik mata wang tempatan dalam tempoh sejak 14 Feb, 2023.

Pada Jumaat lepas, ringgit ditutup pada 4.4295/4350 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus menunjukkan daya tahan dan berprestasi baik berbanding dolar AS.

Beliau berkata kadar pertukaran dolar AS/ringgit melepasi paras sokongan RM4.4005 pagi ini, meletakkan ringgit sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia.

"Lonjakan ini didorong oleh kebimbangan yang semakin reda terhadap kemelesetan di AS, dengan indikator ekonomi menunjukkan kemungkinan negara itu mengalami pertumbuhan ekonomi sederhana," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata paras sokongan seterusnya adalah pada RM4.3000.

Mohd Afzanizam berkata perkembangan penting yang perlu diikuti ialah Simposium Jackson Hole (22 Ogos) apabila kalangan kepimpinan utama bank pusat global akan bertemu untuk membincangkan isu berkaitan makroekonomi.

Diharapkan lebih banyak petunjuk mengenai mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS pada September, katanya.

Beliau berkata ini memandangkan peserta pasaran telah mula mengambil kira lebih banyak pengurangan kadar faedah mulai September.

Susulan semua perkembangan itu, ringgit telah meningkat sebanyak 4.28 peratus berbanding dolar AS setakat ini bagi 2024, katanya.

Pada penutupan dagangan, ringgit meningkat lebih tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.8339/8388 daripada 4.8680/8741 ketika ditutup Jumaat lepas, dan lebih stabil berbanding pound British kepada 5.6784/6843 daripada 5.7167/7238.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9946/9979 daripada 2.9792/9833.

Sementara itu, ringgit juga lebih kukuh kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.

Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3424/3461 daripada 3.3582/3627 ketika ditutup Jumaat lepas, lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.74 daripada 7.74/7.75 sebelumnya,

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 281.6/282.1 daripada 282.2/282.7 namun, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.7126/7308 daripada 12.6445/6656.

-- BERNAMA