KUALA LUMPUR: Ringgit menutup minggu ini lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), pada 4.6550/6605 hari ini berbanding 4.6600/6625 yang disaksikan semasa penutup Khamis.

Mata wang tempatan itu dirangsang oleh peningkatan jangkaan pasaran mengenai pengurangan kadar faedah oleh AS, selaras dengan unjuran Kebarangkalian Kadar Faedah Dunia (WIRP).

Alat WIRP, yang digunakan oleh majoriti pedagang, meramalkan kebarangkalian 105.5 peratus penurunan kadar penanda aras oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) menjelang September nanti.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Fed bersedia untuk mengumumkan pengukur inflasi kegemarannya malam ini.

"Inflasi utama dan indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi teras AS dijangka menurun kepada 2.4 peratus dan 2.5 peratus pada Jun, daripada 2.6 peratus semasa Mei," katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) ) akan bermesyuarat pada 1 Ogos, sambil menambah bahawa Kadar Dana Fed mungkin kekal pada 5.50 peratus.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menambah nilai berbanding pound British kepada 5.9901/ 9971 daripada 6.0039/0072, meningkat berbanding euro kepada 5.0530/0590 daripada 5.0570/0597 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0176/0214 daripada 3.0598/0616 yang dicatatkan sebelumnya.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit turut menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 285.5/286.0 daripada 286.7/287.0 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4641/4684 daripada 3.4714/4735.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut berbanding peso Filipina kepada 7.97/7.99 daripada 7.95/7.96 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9069/9268 daripada 12.8875/9005 yang dicatatkan semalam.

-- BERNAMA