Ringgit boleh cecah RM4.00 akhir tahun: Pakar

Najib Aroff
Mac 6, 2017 14:22 MYT
Nor Zahidi Alias (tengah) "Kita saksikan aliran keluar modal dari pasaran Malaysia ke AS susulan keyakinan terhadap ekonomi negara itu semakin tinggi dan ini menjadikan ringgit kehilangan nilai." - Foto Astro Awani
Ringgit diramal mencecah paras RM4.00 ke RM4.20 berbanding dolar Amerika menjelang akhir tahun sekiranya ketidaktentuan politik dan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah reda.
“Situasi di Eropah dan AS banyak mempengaruhi pergerakkan mata wang negara membangun termasuk ringgit.
“Kita saksikan aliran keluar modal dari pasaran Malaysia ke AS susulan keyakinan terhadap ekonomi negara itu semakin tinggi dan ini menjadikan ringgit kehilangan nilai.
“Saya rasa pertengahan tahun ini kita bakal saksikan nilai ringgit lebih stabil setelah ketidaktentuan dasar ekonomi dan politik di AS dan Eropah reda.” Kata Ketua Ekonomi MARC Ratings Nor Zahidi Alias selepas membentangkan unjuran ekonomi tahun penuh 2017 di ibu negara.
Ringgit ketika ini berlegar sekitar RM4.50 berbanding dolar.
Tambahnya pertumbuhan ekonomi tempatan yang diramal mampan akan turut memacu nilai unit tempatan itu.
“Kami jangka ekonomi akan tumbuh 4.3 peratus tahun ini, ia lebih tinggi dari jangkaan awal kami pada 4 peratus sebelum ini.
“Ini akan disokong pelaburan sektor swasta serta terbitan bon korporat yang dijangka positif tahun ini.” Katanya sambil menambah terbitan bon korporat akan terus disokong projek infrastruktur oleh kerajaan.
Sementara itu mengulas berkaitan kedudukan inflasi tahu ini, Zahidi berkata ia diramal berada pada purata 2.8 hingga 3.3 peratus tahun ini.
“Angka ini lebih tinggi berbanding 2 peratus tahun lepas dan ini adalah susulan harga minyak di pam yang lebih tinggi dan kelemahan ringgit.
“Harga produk makanan dijangka tinggi tahun ini dan ia tidak hanya dipengaruhi faktor tempatan malah kenaikan harga makanan dunia secara keseluruhan.” Katanya.
Mengulas lanjut tentang terbitan bon korporat, Zahidi berkata ia dijangka melepasi paras RM85 bilion tahun ini memandangkan projek infrastruktur utama sedang rancak berjalan.
“Kita saksikan terbitan bon antara RM75 bilion hingga RM85 bilion sejak beberapa tahun lepas dan tidak mustahil tahun ini ia boleh melepasi paras itu.
“Momentum akan mula disaksikan terutama pada separuh kedua tahun ini selepas data ekonomi domestik lebih jelas.
“Ini kerana ekonomi negara yang diramal tumbuh purata 4 peratus adalah kukuh dalam keadaan ekonomi global semasa dan ini memberikan keyakinan kepada pelabur.
Zahidi berkata meskipun di peringkat global pelabur mula meninggalkan bon dan memilih pelaburan berisiko seperti ekuiti, namun instrumen itu kekal mempunyai daya penarik berdasarkan faktor ekonomi domestik dan projek infrastruktur.
#Ekonomi Malaysia 2017 #KDNK #MARCH Ratings #Prestasi Ringgit. #ringgit
;