Ringan beban kontraktor, CIDB lanjut Inisiatif PRIHATIN hingga 31 Mac

Bernama
Januari 19, 2021 12:25 MYT
CIDB melanjutkan tempoh Inisiatif PRIHATIN hingga 31 Mac depan bagi meringankan beban kontraktor untuk membuat pendaftaran atau memperbaharui pendaftaran mereka.
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat keputusan melanjutkan tempoh Inisiatif PRIHATIN hingga 31 Mac depan bagi meringankan beban kontraktor untuk membuat pendaftaran atau memperbaharui pendaftaran mereka.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti impak gelombang ketiga wabak COVID-19 khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pelanjutan ini dilaksanakan susulan maklum balas daripada penggiat industri, termasuk Master Builders Association Malaysia (MBAM) dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM). Inisiatif ini masih diperlukan penggiat industri yang terkesan dengan wabak COVID-19 dan PKP yang dilaksanakan pada tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya antara inisitif yang terlibat ialah pengecualian keperluan mata CCD (Pembangunan Kontraktor Secara Berterusan) dalam syarat pembaharuan pendaftaran kontraktor yang dilanjutkan dari 1 Jan hingga 31 Mac.
Justeru bermula 1 April, CIDB akan melaksanakan pemotongan keperluan mata CCD kepada 50 peratus bagi pembaharuan pendaftaran kontraktor.
Turut dilanjutkan sehingga 31 Mac, pengecualian syarat Sijil Kecekapan Pengurusan (SKP) Pengurusan Bisnes dan Pengurusan Fasiliti dalam syarat pembaharuan pendaftaran kontraktor.
Selain itu, pengecualian Kursus Integriti dalam syarat pendaftaran baharu dan pembaharuan pendaftaran kontraktor juga dilanjutkan bagi tempoh sama.
Maklumat lanjut berkenaan industri pembinaan boleh layari laman web www.cidb.gov.my atau hubungi hotline CIDB 03-55673300.
-- BERNAMA
#cidb #Inisiatif PRIHATIN #Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan #beban kontraktor #Ahmad 'Asri Abdul Hamid #PKP #MBAM
;