RichWorks gedung lahirkan usahawan jutawan negara

Israr Khalid
Jun 14, 2024 09:15 MYT
Tahun lalu, 65 usahawan bimbingan secara dekat RichWorks mencapai jualan lebih RM10 juta dan syarikat itu dalam misi untuk melahirkan 100 usahawan pula tahun ini. - Foto RichWorks
SHAH ALAM: Genap 16 tahun RichWorks International pada 13 Jun 2024, merintis pembangunan usahawan jutawan di negara hingga menyaksikan ramai usahawan jutawan terutama bumiputera dilahirkan daripada sistem, ilmu dan strategi yang terbukti.
Pengasas dan Pengerusi RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks), Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, bermula secara kebetulan dan bertukar minat hingga menjadi sebuah institusi dengan kepakaran dalam menyaksikan pertumbuhan seseorang usahawan daripada satu tahap ke tahap yang lebih tinggi lagi.
Katanya, pengalaman 16 tahun dengan melihat sendiri jatuh bangun seseorang usahawan secara dekat membuatkan RichWorks sentiasa menambah baik dan bergerak ke hadapan dalam menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Alhamdulillah, RichWorks boleh dikatakan sebagai satu institusi keramat melahirkan usahawan yang berjaya bukan hanya capai jualan jutaan ringgit bahkan menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara.
"Tahun lalu, 65 usahawan bimbingan secara dekat kami capai jualan lebih RM10 juta dan kami dalam misi untuk lahirkan 100 usahawan pula pada tahun ini.
“Usahawan kami dibimbing secara holistik, bukan saja aspek bisnes termasuk menekankan kewajipan membayar cukai, zakat, tanggungjawab mereka kepada kakitangan dan masyarakat bahkan aspek kerohanian yang sangat penting."
Maklum Azizan lagi, 30 usahawan Titanium RichWorks dapat menunaikan ibadah haji malah ada yang membawa ahli keluarga bersama.
Sempena ulang tahun ke-16, RichWorks mengadakan Klinik Usahawan khusus buat usahawan-usahawan di serata negara mengikut industri secara percuma bermula Jun hingga penghujung tahun ini.
Tambah Azizan, usahawan ini dapat lebih kepastian dengan adanya mentor atau jurulatih yang dapat membimbing dan membawa mereka melihat di mana ada ruang dan peluang juga potensi lain yang boleh dibuat untuk mencapai sasaran.
“Nak jalankan bisnes ini mudah, tapi nak buat bisnes bertahan dan alami pertumbuhan itu susah jika anda tiada sokongan yang betul.
“Bahkan salah satu cabaran terbesar bagi usahawan terutama pemilik bisnes bila mana mereka terperangkap dengan kejayaan masa lalu,” jelasnya.
Azizan berkata, mereka akan mula rasa selesa, tak mahu berubah dengan tetap nak melakukan perkara sama tapi mengharapkan hasil lebih baik.
“Inilah yang selalu saya lihat permulaan kepada kejatuhan mereka dan jika tidak dibetulkan boleh menyebabkan bisnes terlingkup.
“Bagi selesaikan isu ini, usahawan kena sedar bahawa masa beredar, teknologi berkembang dan tingkah laku manusia juga berubah menyebabkan kita perlu sentiasa bersedia untuk tambah baik ‘game’ masing-masing,” tegasnya lagi.
#Richworks #usahawan #Azizan Osman #Jutawan
;