RichWorks adakan kolaborasi strategik bersama KPWKM demi angkat kembali usahawan wanita
Astro Awani
Oktober 22, 2021 20:49 MYT
Oktober 22, 2021 20:49 MYT
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang melanda sejak dua tahun lalu menyaksikan begitu ramai usahawan terkesan terutamanya membabitkan golongan wanita dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Menyedari hakikat itu RichWorks International Sdn. Bhd (RichWorks International) memainkan peranan untuk turut sama berganding bahu bagi mengangkat semula usawan wanita dengan menjalinkan kolaborasi strategik bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Program Wanita Bangkit Berniaga yang akan berlangsung 26 November nanti.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International, Radz Mohd, seramai 37 usahawan jutawan bergabung tenaga dan berkongsi resipi kejayaan masing-masing pada program tersebut.
“Kami menyasarkan seramai 20,000 wanita menyertai sesi webinar ini. Sesi pembelajaran akan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dan secara keseluruhan peserta akan terlibat dalam enam sesi.
“Ini adalah antara cara RichWorks International membantu masyarakat terutamanya wanita kembali melihat potensi diri. Seramai 37 usahawan jutawan daripada pelbagai latar belakang yang telah terbukti berjaya akan bercakap dan berkongsi kisah unik masing-masing,” katanya pada sidang media Pelancaran Wanita Bangkit Berniaga yang turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Tambah beliau program ini juga bukan hanya sekadar membuka ruang kepada peserta ujntuk mendalami ilmu perkongsian kejayaan, malah turut membuka peluang yang lebih luas secara percuma.
“Kali ini insya-Allah apa yang berbeza adalah kita juga akan memberi ruang dan peluang untuk mereka bertindak untuk berniaga. Kita memberikan mereka peluang untuk bermula sebagai seorang usahawan.
“Kalau dahulu kita hanya sekadar mengajar sahaja tetapi kini bezanya kita mengajar mereka, membimbing mereka dan kita beri juga peluang untuk mereka memilih produk-produk yang boleh mereka mulakan perniagaan pada masa itu juga untuk menjadi seorang usahawan," jelasnya.
COVID-19 | RichWorks hulur bimbingan percuma kepada wanita
Sementara itu itu Rina mengalu-alukan jalinan kerjasama itu dan memuji inisiatif yang diambil oleh pihak RichWorks International dalam usaha membantu golongan usahawan wanita.
“Kita sangat berterima kasih kerana aspirasi kementerian ini turut disambut oleh pihak syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan. Jadi ia bukanlah hanya program kementerian semata-mata tetapi kita juga bersama pihak dalam sektor korporat dan usahawan yang telah berjaya untuk membantu wanita-wanita yang lain,” jelasnya selepas merasmikan serta menyaksikan perjanjian persefahaman yang dimeterai antara pihak KPKWM dan RichWorks International.
RichWorks International juga menandatangani kerjasama bersama sebahagian daripada 37 usahawan jutawan yang terlibat dalam program Wanita Bangkit Berniaga.
Antara lain, program yang bertemakan ‘Tangan Yang Menghayun Buaian Boleh Menggoncang Dunia’ itu juga bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah dan memperkasa wanita melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran.
Mereka yang ingin menyertai Program Wanita Bangkit pada 26 - 28 November ini boleh mendaftar di https://wanitabangkitberniaga.com/