RHB, TNB bekerjasama promosi peralihan tenaga hijau kepada PKS dan individu

Dagang News
September 7, 2023 07:55 MYT
Pertukaran dokumen rasmi RHB dan TNB berlangsung semasa Persidangan Peralihan Tenaga pada 28 Ogos 2023. - DagangNews.com
KUALA LUMPUR: RHB Banking Group dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalin kerjasama untuk mempercepatkan penggunaan rumusan tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu.
Di bawah kerjasama tersebut, TNB berperanan untuk menyediakan nasihat teknikal mengenai kecekapan tenaga dan rumusan tenaga boleh diperbaharui, termasuk membekal dan memasang sistem solar fotovoltaik (PV) kepada PKS, mengutamakan pelanggan PKS RHB, serta pelanggan dan rakan kongsi perniagaan TNB.
Sementara itu, RHB menawarkan rumusan pembiayaan hijau PKS, merangkumi tenaga boleh diperbaharui, pembinaan, hartanah komersial, modal kerja dan perbelanjaan modal (capex).
RHB dan TNB akan bersama-sama menganjurkan jerayawara kelestarian bermula suku ketiga tahun ini untuk melibatkan PKS di bandar-bandar utama Malaysia bagi menggalakkan kesedaran tentang amalan perniagaan mampan.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Mohd Rashid Mohamad berkata inisiatif tersebut menjadikannya institusi kewangan pertama yang bekerjasama dengan TNB dalam memupuk, menyokong dan memajukan PKS dalam perjalanan kemampanan mereka.
“Sehingga Jun 2023, kumpulan telah meluluskan lebih RM870 juta dalam Pembiayaan Mampan PKS, di mana RM103 juta adalah kemudahan peralihan karbon rendah (LCTF) oleh Bank Negara Malaysia.
“Kami juga telah mencapai lebih RM5 bilion dalam perkhidmatan kewangan mampan daripada sasaran kami bagi tahun ini sebanyak RM9 bilion, dan pencapaian kumulatif lebih RM16 bilion, bersamaan hampir 85% daripada sasaran RM20 bilion kami,” tambah Rashid.
Menurut beliau, bank itu turut mengembangkan pasukan kewangan mampan dengan pakar sektor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kepakarannya meliputi pelbagai industri, termasuk tenaga boleh diperbaharui, kelapa sawit, penjagaan kesihatan dan harta benda.
Mengulas masa hadapan peralihan tenaga, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata permintaan untuk pembiayaan hijau dijangka meningkat dengan ketara berikutan penggunaan rumusan tenaga hijau yang semakin meningkat di negara ini.
“Pembiayaan dan pelaburan hijau memainkan peranan penting dalam komitmen TNB untuk memajukan peralihan tenaga, membangunkan infrastruktur mampan, dan memupuk inovasi untuk menggalakkan ekonomi rendah karbon.
“TNB dan RHB berkongsi visi yang sama untuk membantu PKS dan pemilik rumah dalam peralihan kepada penyelesaian tenaga hijau untuk masa depan yang lebih mampan,” ujar beliau.
Pertukaran dokumen rasmi RHB dan TNB telah berlangsung semasa Persidangan Peralihan Tenaga pada 28 Ogos 2023, disaksikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad. - DagangNews.com
#TNB #RHB #PKS #tenaga hijau
;