RHB semak naik unjuran pertumbuhan KDNK 2022 kepada 8.5 peratus
Bernama
Februari 7, 2023 06:00 MYT
Februari 7, 2023 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd menyemak unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi 2022 kepada 8.5 peratus daripada 8.0 peratus susulan data perbelanjaan pengguna dan prestasi perdagangan yang lebih positif berbanding jangkaan awal.
Dalam nota tinjauannya semalam, bank pelaburan itu turut mengunjurkan bahawa KDNK berkembang sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2022 berbanding anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 7.0 peratus dan 14.2 peratus pada suku sebelumnya.
Selain itu, RHB turut menaikkan unjuran pertumbuhan penggunaan swasta kepada 12.2 peratus daripada 10.7 peratus manakala unjuran eksport bersih kepada -13.8 peratus berbanding -18.1 peratus, sebelum ini.
RHB juga menyifatkan perbelanjaan pengguna disokong baik oleh keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan yang dipacu oleh kelonggaran sekatan COVID-19 selain impak dasar monetari dan fiskal sebelum ini.
"Tanpa mengambil kira kelembapan dalam sektor pembuatan, aspek seperti keadaan pasaran tenaga kerja sebaliknya disokong dengan baik oleh sektor perkhidmatan yang memberangsangkan.
"Bagi sektor perkhidmatan misalnya, industri berkaitan pelancongan memaparkan pertumbuhan lebih baik yang didorong oleh pengembangan subsektor penginapan, pengangkutan dan penyimpanan selain makanan dan minuman," katanya.
Bagi 2023, RHB mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK kepada 4.5 peratus berbanding anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 4.0 peratus serta unjuran Kementerian Kewangan sebanyak 4.0-5.0 peratus.
"Unjuran kami bagi 2023 kekal optimis namun berhati-hati, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan. Penggunaan sektor swasta juga dijangka kekal sebagai enjin atau penggerak utama pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini.
"Bagaimanapun, cabaran luaran dan di peringkat domestik dijangka terus mempengaruhi ekonomi, terutama bagi tempoh separuh pertama 2023," katanya.
Di peringkat luaran, RHB menjangkakan pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama yang lebih perlahan berkemungkinan besar menjejaskan prestasi perdagangan Malaysia manakala isu di dalam negara pula berkaitan dengan ruang fiskal yang terhad, peningkatan kos sara hidup serta kekurangan tenaga kerja.
-- BERNAMA