RHB peruntukkan RM3 juta bagi inisiatif kekang COVID-19

Haikal Raman
Mac 25, 2020 11:10 MYT
Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, daripada jumlah tersebut RM1 juta akan disumbangkan secara terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Foto RHB
RHB Banking Group (RHB) memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi tujuan sokongan terhadap pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.
Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, daripada jumlah tersebut RM1 juta akan disumbangkan secara terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan bagi membeli peralatan kesihatan, perubatan atau keperluan penting lain dalam menguruskan kes COVID-19.
“Baki RM2 juta lagi akan diperuntukkan sebagai dana bantuan bagi usaha-usaha berkaitan COVID-19 yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan.
“Inisiatif utama kami ketika ini adalah membekalkan bungkusan makanan kepada barisan hadapan di enam buah hospital sekitar Lembah Klang dan Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung (PTP),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Enam buah hospital tersebut adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur.
Khairussaleh turut menyarankan orang ramai untuk terus mematuhi perintah PTP dan kekal berada di rumah sepanjang tempoh ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Orang ramai yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kewangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun 2-66016-0002347-5 RHB Bank Bhd. atas nama Sumbangan Perubatan KKM.
#bank #coronavirus #COVID-19 #Datuk Khairussaleh Ramli #Hospital #Kementerian Kesihatan #kerajaan #KKM #koronavirus #Kuala Lumpur #Malaysia #Pengarah Urusan Kumpulan RHB #perubatan
;