Revolusi sistem tren pintar di Malaysia
Luqman Hariz
April 17, 2016 12:15 MYT
April 17, 2016 12:15 MYT
Anda tiba di stesen KTM, LRT atau Monorel. Anda beli tiket ke destinasi yang mahu dituju.
Anda kemudiannya menaiki tren dan turun setelah tiba ke destinasi.
Ini rutin hampir kesemua warga kota yang menggunakan tren untuk bergerak, sama ada ke tempat kerja setiap hari atau bersiar-siar pada hari minggu.
Tetapi bayangkan jika pengalaman rutin ini boleh menjadi jauh lebih baik dari yang anda bayangkan?
Bayangkan jika tren yang anda naiki boleh memberitahu anda jika terdapat sebarang halangan atau kesesakan di kawasan berhampiran stesen, dan mencadangkan anda jalan pintas untuk ke pejabat selepas turun dari tren?
Malah naik sahaja tren, ia sudah boleh memberitahu waktu anda akan sampai ke pejabat.
Atau mungkin anda pelancong yang menaiki tren untuk melawat tempat-tempat menarik di sesebuah bandar.
Bayangkan jika anda tidak perlu menggunakan aplikasi Google semua tempat yang anda ingin lawati kerana dalam perjalanan ke sana, tren yang anda naiki sudah boleh beritahu anda tempat-tempat menarik seperti mercu tanda atau restoran yang berdekatan dengan stesen perhentian?
Ini semua mungkin berbunyi seperti suatu kemungkinan yang jauh, malah mungkin futuristik.
Mungkin juga tidak.
Konsep “The Internet of Things”
Internet sudah lama menjadi sebahagian dari kehidupan manusia.
Selepas itu, tercipta pula pelbagai telefon pintar dan peranti yang boleh menghubungkan sesiapa saja kepada internet, di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Lahirnya globalisasi internet, maklumat tanpa sempadan, media sosial.
Kini, selepas lebih dua dekad internet dicipta, apa seterusnya?
Kini ia bukan saja telefon pintar dan peranti lagi. Semakin banyak gajet dalam kehidupan anda boleh disambung kepada internet dan dijadikan “pintar”, dari peti sejuk ke jam tangan ke kereta pintar.
"Internet of Things (IoT) adalah revolusi seterusnya," kata Roger Kay, penganalisis Endpoint Technologies Associates.
"Berbilion gajet boleh dihubungkan. Ini pasaran yang sangat besar, setiap syarikat teknologi dunia berebut untuk menerajui revolusi IoT."
Melalui platform IoT, semua gajet di rumah anda mempunyai sambungan internet dan boleh menarik apa-apa maklumat untuk membawa fungsi mereka ke satu peringkat baru.
Peti sejuk anda boleh mencadangkan resipi masakan sesuai berdasarkan apa yang di dalam peti.
Ketuhar anda boleh berhubung kepada internet dan memberitahu anda tempoh atau suhu pembakaran yang sesuai bagi pastri yang anda sedang masak.
Atau mungkin anda anda seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat. Mungkin sofa di ruang tamu boleh mengesan berapa lama anda duduk dan memberitahu anda bila untuk bangun dan bersenam untuk mencapai berat badan sasaran anda.
Firma penyelidikan IDC berkata, pasaran untuk IoT akan berkembang dari AS$1.9 trilion pada 2013 kepada AS$7.1 trilion pada 2020.
“Internet of Things” dan pengangkutan awam Malaysia?
Menyedari luasnya kemungkinan yang boleh diteroka, NanoMalaysia Berhad, Scomi Engineering Bhd dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) memeterai persetujuan bagi membangunkan sistem pengangkutan awam pintar di Malaysia berdasarkan platform IoT dan teknologi nano.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Scomi, Rohaida Badaruddin kerjasama bersama NanoMalaysia dan MDEC membolehkan syarikat itu memperkenalkan standard baru dalam sistem pengangkutan urban.
“Kami yakin dapat menjadi pemangkin untuk sistem pengangkutan awam Malaysia beralih ke era IoT dan pada masa yang sama, mewujudkan faedah alam sekitar yang lebih besar,” katanya.
“Teknologi Nano memudahkan peralihan ke IoT melalui pengecilan peranti untuk menjadikannya lebih mudah alih, sekaligus meningkatkan penggunaan,” tambah Dr. Rezal Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia.
Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, pihaknya bersedia membantu Scomi untuk menerajui pengangkutan pintar di Malaysia.
“IoT mewakili revolusi seterusnya dalam masa depan teknologi. Ia mempunyai potensi amat besar yang hanya menunggu untuk diterokai,” ujarnya.
NanoMalaysia, Scomi dan MDEC masih belum memperincikan sebarang projek khusus atau jangka masa terperinci pembangunan.
Namun, kerjasama antara ketiga-tiga entiti ini bermakna masa depan sistem tren pintar di Malaysia adalah satu kemungkinan yang kini hampir menjadi realiti.