Revolusi Perindustrian 4.0 perlu hala tuju jelas

Shafizan Johari
September 4, 2017 17:01 MYT
Holger menekankan pihak kerajaan dan industri perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan transformasi tersebut. - Foto Astro AWANI
Pakar sektor perindustrian Jerman percaya Malaysia sudah memiliki matlamatnya sendiri berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0.
Bagaimanapun matlamat itu harus dizahirkan menerusi hala tuju yang jelas bagi mentranformasikan sektor perindustrian negara ini dalam usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing, seiring perkembangan industri di peringkat dunia.
Timbalan Pengarah Pengurusan Korporat Fraunhofer Institute for Production System and Design Technology, Profesor Dr Kohl Holger bagaimanapun menekankan pihak kerajaan dan industri perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan transformasi tersebut.
“Saya berpandangan kerajaan Malaysia mempunyai kefahaman yang jelas mengenai pendekatan baharu dalam sektor pengilangan di Malaysia dan beberapa usaha memberikan fokus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya semasa menghadiri Persidangan Industri 4.0 dan Pendigitalan di ibu negara.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga faham mengenai kepentingan untuk mewujudkan hala tuju (Revolusi Perindustri 4.0) untuk industri di Malaysia terutamanya SME bagi memastikan mereka memahami keperluan semasa,” tambahnya.
Beliau yang berpengalaman selama 15 tahun di Malaysia pada masa sama, menasihatkan PKS tidak terburu-buru untuk melabur dalam peralatan baru untuk menganjak ke Industri 4.0, memandangkan pelaburan ke dalam teknologi berkenaan boleh dilaksanakan sedikit demi sedikit.
Terdahulu Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi Dan Inovasi Mosti Profesor Madya Dr Ramzah Dambul dalam ucapan beliau berkata Industri 4.0 akan membolehkan ekonomi negara ditransformasikan sepenuhnya.
Revolusi industri 4.0 disebut sebagai trend semasa dalam perindustrian yang meliputi sistem siber-fizikal, 'internet of things', pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif.
#Internet #Jerman #Malaysia #MOSTI #Revolusi Perindustrian #Sains #teknologi
;