Reformasi ekonomi, petunjuk positif pacu dana asing beli saham Malaysia - Tengku Zafrul

Bernama
Julai 25, 2024 00:45 MYT
TENGKU ZAFRUL: Salah satu sebab kenaikan pasaran saham adalah keyakinan pelabur bagi jangka sederhana dan panjang, selain menunjukkan dasar kerajaan yang telah kita laksanakan setakat ini adalah tepat. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kegigihan kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi serta petunjuk pertumbuhan yang positif pada masa ini, terus menjadi pendorong pembelian asing dalam pasaran saham Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tindakan sedemikian turut memaparkan keyakinan berterusan pelabur terhadap negara ini.
"Salah satu sebab pasaran saham naik adalah keyakinan pelabur bagi jangka sederhana dan panjang selain menunjukkan dasar kerajaan yang telah kita laksanakan setakat ini adalah tepat.
"Pada masa sama, limpahan ekonomi itu akan turut dinikmati oleh syarikat-syarikat serta rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pembuatan Pintar Malaysia 2023 di sini, malam tadi.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul turut memetik kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa ekonomi negara ini diunjur berkembang 5.8 peratus dalam suku kedua 2024 berbanding 4.2 peratus pada suku sebelumnya.
Sehubungan itu, angka-angka positif sedemikian menjadi petanda suntikan lebih banyak dana asing ke dalam Bursa Malaysia selain dalam bentuk pelaburan langsung domestik dan pelaburan langsung asing.
Tengku Zafrul berkata demikian sebagai mengulas rencana media kewangan Bloomberg yang mengetengahkan pasaran saham Malaysia yang kembali menarik kehadiran pelabur global berikutan tarikan dari segi perkhidmatan berkaitan kecerdasan buatan (AI) di rantau ini.
Laporan itu menyatakan dana asing menjadi pembeli bersih ekuiti tahun ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan dasar-dasar bagi menarik pelaburan asing dalam industri semikonduktor dan pembangunan pusat data AI.
-- BERNAMA
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #pelaburan #saham #Bursa Malaysia