Reboot Now: Perubahan bukan sekadar adaptasi, tetapi demi kemajuan perniagaan
Madiha Abdullah
Januari 15, 2022 16:31 MYT
Januari 15, 2022 16:31 MYT
KUALA LUMPUR: Perubahan merupakan sesuatu yang menakutkan namun dalam situasi tertentu seperti pandemik, ia merupakan peluang terbaik untuk melakukan perubahan atau menulis semula peraturan yang sedia ada bukan sekadar untuk beradaptasi tetapi juga demi memajukan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berpendapat, dunia kini berubah dengan cukup pantas dan perubahan yang berlaku bukan hanya memberi impak kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi juga organisasi besar dan memerlukan mereka lebih kritikal dalam mengambil langkah seterusnya.
"Tiada beza dengan AirAsia atau Teleport, dalam erti kata, kami kenal pelanggan kami. Kami nampak pelanggan kami ialah ahli perniagaan. Peniaga kecil yang mengembara dari A ke B dalam usaha untuk menjalankan perniagaan.
"Kami nampak, sebagai contoh, kalau nak ke lapangan terbang, kena naik kereta atau pengangkutan lain. Tiada cara lain melainkan anda mungkin menaiki KLIA Express atau mungkin anda menaiki bas tetapi ia tidak sesuai.
"Dalam urusan memindahkan barang masuk dan keluar dari lapangan terbang, iaitu kargo, peniaga perlu pergi dari rumah ke rumah, gudang atau mana-mana lokasi.
"Jadi kami tahu bahawa jika kami benar-benar ingin memberi khidmat kepada sejumlah besar peniaga kecil atau sesiapa sahaja yang menggunakan khidmat kami selama 20 tahun ini, kami perlu sampai ke pintu mereka," katanya dalam sesi pembentangan dan diskusi Reboot Now: Rewriting the Logistics Rulebook for Malaysian SMEs, pada Sabtu.
Pasca pandemik, kata Chareonwongsak, Asia Tenggara akan menjadi kawasan yang lebih kecil kerana jalinan perhubungan yang semakin meningkat menerusi e-dagang.
"Pelanggan terbesar anda adalah peniaga PKS di seluruh benua ini yang ingin mendapatkan akses perkhidmatan itu. Jadi ia adalah satu pertaruhan yang jujur. Ia dipercepatkan kerana wabak ini dan kita juga harus bergerak pantas kerana kita sudah nampak jelas ia berlaku dengan cepat," ujarnya.
Beliau juga menekankan aspek ekosistem yang baik dalam kalangan penggiat industri kerana jalinan kerjasama mampu memberi sokongan kepada kemajuan sesebuah perusahaan.
Kelebihan Malaysia, tambahnya, ialah sikap proaktif dalam beradaptasi dengan pendigitalan.
"Malaysia adalah tempat yang secara jujurnya, tempat bermula semua startup, anda harus berfikir tentang membina perniagaan sini kerana, walaupun perniagaan saya, ia bergantung pada logistik, bergantung pada infrastruktur. Malaysia adalah tempat yang bagus untuk berhubung. Sangat mudah untuk bergerak dari A ke B kerana infrastruktur asasnya kukuh.
"Dan terdapat kepelbagaian dan anda mendapat banyak maklumat dan pandangan daripada kumpulan sasaran kerana terdapat begitu banyak kepelbagaian di Malaysia.
"Kemudian ada aspek geografi. Ia cukup kompleks. Kita ada Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, bukan semua orang, tinggal di ibu kota. Penduduk berada di seluruh negara. Jadi, ada begitu banyak yang perlu kita selesaikan hanya untuk Malaysia.
"Fikir begini, jika kami boleh menyelesaikan isu di Malaysia, kami menyelesaikan banyak isu lain tempat lain di Asia Tenggara.
"Dan yang terakhir, saya rasa terdapat banyak pengembara, rakyat Malaysia gemar ke luar negara, mereka telah melihat pelbagai perkara di seluruh dunia dan mereka kembali ke sini dan mereka cuba membuatnya di sini.
"Jadi ini menjadikan Malaysia negara yang sangat terbuka, kami belajar banyak perkara kerana berpangkalan di sini," katanya lagi.
Webinar Reboot Now 2022 anjuran Astro AWANI yang berlangsung sejak 13 Januari, berakhir hari ini, dengan memberikan perkongsian secara komprehensif meliputi kemahiran, ilmu dan trend bisnes terkini kepada orang ramai terutama pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempertingkatkan daya tahan perniagaan melalui adaptasi teknologi digital melalui strategi, operasi dan pemasaran.