Reboot Now 2022: Usahawan perlu kuasai ilmu perniagaan digital
Irwan Muhammad Zain
Januari 14, 2022 16:36 MYT
Januari 14, 2022 16:36 MYT
KUALA LUMPUR: Usahawan kecil dan sederhana dinasihatkan agar melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang perniagaan digital bersesuaian dengan resam baru sejak pandemik COVID-19 melanda dua tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital Corporation, Fabian Bigar semua pengetahuan tentang urusniaga dalam dunia digital perlu dikuasai kerana ia memberi manfaat kepada usahawan kecil dan sederhana ketika ini.
Selain itu, ia juga selari dengan inisiatif kerajaan dalam pelan tindakan digital dan peningkatan jumlah pengguna digital ekoran pandemik COVID-19.
"Ia juga jelas bahawa trend baru ini akan berterusan memandangkan 98 peratus peserta kajian memberitahu mereka akan terus menggunakan platform digital.
"Mereka memberikan jawapan tersebut kerana bagi mereka platform digital yang digunakan sejak pandemik COVID-19 kira-kira dua tahun lalu memudahkan kehidupan.
"Mereka juga memberitahu bahawa berurusan secara digital atau urusniaga menggunakan platform digital adalah sebahagian dari norma baru," katanya.
Bagi Pengurus Industri Google Malaysia, Yau Chuan Ng, sejak pandemik COVID-19 dua tahun lalu rakyat Malaysia memiliki lebih banyak aplikasi dalam telefon pintar mereka.
Chuan Ng menjelaskan perkembangan itu membuktikan bahawa pengunaan digital dalam urusan harian termasuk perniagaan semakin meningkat.
Dalam usaha membantu usahawan di negara ini, Chuan Ng memaklumkan Google Malaysia telah menyediakan Mahir Digital Bersama Google yang menyediakan kursus transformasi digital secara percuma.
"Hanya perlu gunakan Google Search dan anda akan temui Mahir Digital Bersama Google, anda akan dapati kami menyediakan kelas percuma tentang transformasi digital.
"Anda akan temui apa yang sesuai untuk dimulakan dalam usaha untuk transformasi perniagaan ke arah digital atau menggunakan platform digital.
"Yang penting anda perlu fokus apa yang mahu dilakukan kemudian barulah memutuskan platform mana yang perlu," jelas Chuan Ng.
Sementara Pengasas Dough by Sara, Nur Sara Dina memberitahu pengunaan ruang digital terutama Google banyak membantu mengembangkan perniagaannya.
"Saya lebih percaya Google sebab ia banyak membantu mempromosikan jenama perniagaan saya kepada pelanggan di seluruh negara.
"Apabila pelanggan datang ke kedai, saya akan bertanya dari mana tahu tentang jenama atau kedai saya ini dan pelanggan akan menjawab mereka tahu menerusi Google.
"Jadi untuk saya Google amat membantu saya dalam menjalan perniagaan," cerita Sara.
Sejak pandemik COVID-19 yang melanda dunia dua tahun lalu, jumlah pengguna digital di negara ini terus meningkat dan ia juga dijangka akan terus meningkat.
Mereka bertiga merupakan ahli panel untuk webinar Reboot Now 2022 yang dianjurkan oleh Astro AWANI.