Reaksi pelbagai terhadap Brexit
Pritha Manivannan
Jun 23, 2016 15:50 MYT
Jun 23, 2016 15:50 MYT
Warga UK dan Komanwel di UK akan mengundi pada Khamis sama ada negara berkenaan akan kekal atau keluar dari Kesatuan Eropah (EU).
Kempen sengit yang diadakan kem David Cameron dan Boris Johnson memberikan pengundi fakta dan sebab yang diperlukan untuk mengundi dalam pungutan suara.
Berikut reaksi pelbagai pihak mengenai Brexit.
1. Tan Sri Rebecca Fatima, Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Malaysia masih berminat dengan perdagangan bersama Kesatuan Eropah (EU) walaupun jika Britain memilih untuk keluar EU (Brexit).
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rebecca Fatima, ini kerana selain UK, EU mempunyai 27 ekonomi lain yang dapat memberi pelbagai manfaat kepada Malaysia.
Katanya jika Brexit berlaku, Malaysia harus melaraskan ekonominya dari segi perdagangan dan pelaburan.
"EU mempunyai negara ahli yang lain. Sudah pasti kami inginkan UK menjadi sebahagian daripada EU dan mereka sedang berunding.
"Jika mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan EU, masih terdapat 27 ekonomi yang signifikan. Oleh itu kami akan lihat jika pelarasan harus dilakukan," kata Rebecca.
Walau bagaimanapun, Rebecca menegaskan supaya tidak membuat spekulasi mengenai Brexit sehingga keputusan diumumkan.
"Pada pendapat saya, kita harus tunggu dan lihat keputusan. Seperti yang saya katakan tadi, walaupun jika UK ingin keluar dari EU, proses itu akan mengambil masa yang lama dan ia tidak akan berlaku semalaman.
"Ia akan mengambil 1 hingga 2 tahun. Oleh itu, spekulasi harus dihentikan," Rebecca berkata sebelum memberi taklimat mengenai perjanjian perdagangan bebas dan integrasi ekonomi di Kuala Lumpur.
2. Datuk Sulaiman Mohd Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir yakin referendum UK akan mempunyai kesan positif kepada Malaysia.
Tambahnya jika UK kekal di dalam Kesatuan Eropah, ia akan membawa kembali kestabilan kepada blok ekonomi itu.
Ini selepas tempoh masa tidak menentu akibat kemungkinan situasi Brexit berlaku.
Namun menurutnya, jika UK keluar, Asia akan mendapat manfaat susulan kemasukan aliran dana ke dalam rantau ini.
3. Bank Negara Malaysia
Pasaran kewangan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan akibat referendum di UK mengenai keahlian dalam Kesatuan Eropah.
Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, peserta pasaran sentiasa bersedia untuk menyokong pasaran kewangan berfungsi dengan teratur dan pengantaraan yang lancar.
BNM berkata memandangkan peristiwa ini penting, impak dan ketidaktentuannya mungkin memberikan kesan limpahan terhadap pasaran kewangan.
BNM bersama peserta pasaran kewangan Malaysia sedang memantau dan terus berwaspada terhadap sebarang kemungkinan risiko dan cabaran yang bakal dihadapi pasaran kewangan domestik.
#Brexit
#Britain
#EU
#Kesatuan Eropah
#Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
#MITI
#Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria
#United Kingdom