RCEP punyai potensi besar tingkatkan ekonomi serantau - Ismail Sabri

Bernama
Disember 8, 2024 04:30 MYT
ISMAIL SABRI: RCEP boleh memberikan manfaat besar kepada kita semua dalam menangani kerumitan perdagangan global, terutama dalam konteks ketidakstabilan di Timur Tengah dan Eropah Timur. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berpotensi besar menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, inovasi dan kesalinghubungan di rantau Asia Pasifik, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika menyampaikan ucapan penutup pada Forum China-RCEP di Shanghai, China pada Sabtu, beliau berkata kemajuan yang dicapai dalam bidang tersebut akan memberi kesan langsung kepada perniagaan, komuniti dan ekonomi di seluruh rantau tersebut.
"Sebagai contoh, dari Januari hingga Mac tahun ini, eksport ke negara-negara RCEP menyumbang 29 peratus daripada jumlah eksport Malaysia iaitu mencecah kira-kira RM203 juta.
"Statistik ini menonjolkan keupayaan perjanjian ini untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan pergantungan kepada satu rantau sahaja," katanya.
Teks ucapan beliau turut dikongsikan dengan Bernama di sini, semalam.

Saya diberikan penghormatan untuk menutup Persidangan Perniagaan Cemerlang ASEAN di Shanghai, China. Persidangan ini telah menekankan potensi besar RCEP sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, inovasi dan kesalinghubungan di Asia-Pasifik. pic.twitter.com/kgTj6UWM6H

— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) December 7, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu, Ismail Sabri menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan syarikat Malaysia iaitu Ireef Farmpool Sdn Bhd, Naturale Recreation Management Sdn Bhd dan Malaysian Aquaculture Group Holdings Berhad dengan firma China, Hainan Zhanyu Biotechnology Co Ltd.
Beliau berkata dengan mengukuhkan hubungan perdagangan dalam Asia Pasifik, Malaysia bukan sahaja melindungi negara ini daripada potensi gangguan bekalan tetapi juga mencipta peluang baharu untuk mempelbagaikan eksport dan meningkatkan kerjasama industri.
"RCEP meningkatkan akses kepada pasaran besar seperti China, yang mempunyai populasi 1.41 bilion serta Indonesia dengan 275 juta penduduknya.
"Oleh itu, integrasi ekonomi ini boleh memberikan manfaat besar kepada kita semua dalam menangani kerumitan perdagangan global, terutama dalam konteks ketidakstabilan di Timur Tengah dan Eropah Timur," katanya.

Merasmikan 'China ASEAN Outstanding Business Award 2024' (CAOBA 2024) di Shanghai malam tadi. Anugerah ini bertujuan meraikan usahawan yang telah mencapai banyak kejayaan dan menyumbang kepada sektor perniagaan dan francais di ASEAN dan China. pic.twitter.com/oAW9LiXcmi

— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) December 8, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Katanya menerusi forum itu juga, pelbagai perkara kritikal seperti kemudahan perdagangan, daya tahan rantaian bekalan, transformasi digital dan pembangunan mampan telah dibincangkan.
"Ini bukan sahaja idea asas tetapi keutamaan yang boleh diambil tindakan untuk membina kerjasama China-ASEAN. Forum ini telah meletakkan asas untuk hubungan yang lebih mendalam dan perkongsian baharu yang akan memacu kemakmuran bersama,” katanya.
RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, melibatkan 15 negara di rantau Asia Pasifik termasuk 10 negara ASEAN serta lima rakan serantau – China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
-- BERNAMA
#RCEP #Asia Pasifik #ismail sabri yaakob #pertumbuhan ekonomi
;