RCEP, CPTPP bakal bawa limpahan keuntungan kepada warga perniagaan - FMM

Harits Asyraf Hasnan
Jun 22, 2021 14:16 MYT
Tan Sri Soh Thian Lai berkata CPTPP bakal menghapuskan tarif ke atas hampir 96 peratus daripada produk yang memasuki perdagangan antara-rantau. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP) bakal membawa kejayaan signifikan kepada Malaysia.
Apabila kedua-dua perjanjian itu diratifikasi, para pengilang dan pengeluar dijangka menerima limpahan keuntungan daripada kepelbagaian sumber import bagi input dan komponen industri.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, CPTPP bakal menghapuskan tarif ke atas hampir 96 peratus daripada produk yang memasuki perdagangan antara-rantau manakala RCEP pula dijangka meliputi 90 peratus daripada produk-produk ini.
"Malah, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mega ini akan saling melengkapi dan bukannya bersaing.
"Ini kerana RCEP dan CPTPP menyediakan kerangka kerja berstruktur menerusi kerjasama dalam sektor pembuatan tempatan bagi menghubungkan kekuatan kita (Malaysia) dalam pembuatan dan teknologi seiring kekuatan negara rakan kita terutama dalam pertanian dan sumber semula jadi.
"Pengintegrasian ekonomi serantau yang lebih jauh di bawah RCEP dan CPTPP, selain memberi akses pengeksport Malaysia ke pasaran lebih luas di seluruh Asia Pasifik, memungkinkan peningkatan import bahan mentah dan bahan berasaskan sumber semula jadi dari Amerika Latin dan Kanada," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi webinar bertajuk 'RCEP and CPTPP as Game-Changers in ASEAN's Post COVID-19 Economic Recovery' anjuran ASEAN-BAC Malaysia pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu juga bakal menyediakan pilihan strategik yang akan mengurangkan kos dan masa bagi syarikat dengan membenarkan mereka mengimport dan mengeksport produk di mana saja di rantau Asia Timur tanpa perlu memenuhi perbezaan syarat yang dikenakan setiap negara.
Dalam usaha memastikan perniagaan Malaysia dapat memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kemungkinan kerugian dari FTA ini, pihaknya telah mengambil pelbagai inisiatif.
"FMM telah melancarkan siri webinar berkenaan RCEP untuk membantu syarikat mengenal pasti peluang dan jurang yang berpotensi berlaku berkait beberapa bidang baru dalam FTA ini seperti kesan terhadap harta intelek dan peraturan berkait ekonomi digital," katanya.
Pada masa sama, pihaknya turut menjalan beberapa siri webinar sama di peringkat CPTPP selain mengeluarkan beberapa kenyataan media mengenai manfaat CPTPP.
Justeru, beliau berharap FTA mega itu diratifikasi lebih awal agar para perniagaan dapat memanfaatkannya dengan secepat mungkin.
#Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia #FMM #COVID-19 #RCEP #CPTPP #FTA #perdagangan bebas #Tan Sri Soh Thian Lai
;