RCEP berperanan sebagai pemangkin pemulihan ekonomi Malaysia - MIDA
Bernama
Februari 22, 2021 20:57 MYT
Februari 22, 2021 20:57 MYT
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan berperanan sebagai pemangkin pemulihan ekonomi dalam keadaan pandemik COVID-19, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Penggalakan Pelaburan Asing MIDA, May Lim Ming Yee berkata pemeteraian perjanjian perdagangan bebas itu tepat pada waktunya, memandangkan situasi semasa, dengan ia akan, antaranya, mempermudah dan melindungi pelaburan negara-negara peserta dan pemansuhan tarif.
"Perniagaan boleh menikmati akses pasaran lebih luas dan peluang rentas sempadan antara pasaran RCEP," katanya pada webinar MIDA bertema 'Pelaburan China di Malaysia dan Dasar Pelaburan Terkini 2021' pada Isnin.
Sementara itu, Penolong Pengarah bahagian yang sama, Por Yee Yun berkata di antara Januari dengan September 2020, China berada di kedudukan teratas senarai pelaburan negara utama yang diluluskan bagi sektor pembuatan Malaysia iaitu bernilai RM16.77 bilion, diikuti Singapura (RM7.61 bilion) dan Switzerland (RM2.77 bilion).
"Pelaburan yang diluluskan dari China bagi sektor pembuatan menunjukkan peningkatan, dan negara itu merupakan penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar sejak empat tahun lepas, mencatatkan RM15.3 bilion pada 2019 dan RM16.77 bilion setakat suku ketiga 2020," katanya.
Beliau berkata untuk menarik FDI China ke Malaysia, tumpuan perlu diberikan kepada elektrik dan elektronik; jentera dan peralatan; kimia; peralatan perubatan serta aeroangkasa.
"Sektor lain turut termasuk automotif; pengangkutan; tekstil; farmaseutikal; logam; pemprosesan makanan serta perkhidmatan," katanya.
-- BERNAMA
#MIDA
#RCEP
#Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
#pelaburan
#ekonomi
#Singapura
#Switzerland
#China
#pandemik
#COVID-19