Rantau Asia Pasifik perlukan lebih 17,600 pesawat baharu menjelang 2040
Bernama
Februari 14, 2022 04:50 MYT
Februari 14, 2022 04:50 MYT
SINGAPURA: Pertumbuhan trafik sebanyak 5.3 peratus setahun dan semakin banyak pesawat lama kurang cekap bahan api dihentikan pengunaannya akan menyaksikan rantau Asia Pasifik memerlukan 17,620 pesawat penumpang dan pengangkut baharu menjelang tahun 2040, kata Airbus.
"Hampir 30 peratus daripada jumlah ini akan menggantikan pesawat lama yang kurang cekap bahan api," kata pengeluar pesawat Eropah itu dalam laporan terbarunya yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.
Ia berkata di rantau yang menempatkan 55 peratus penduduk dunia, China, India dan negara-negara sedang pesat membangun seperti Vietnam dan Indonesia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan di Asia Pasifik.
Laporan itu berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau itu akan berkembang pada 3.6 peratus setahun berbanding purata dunia sebanyak 2.5 peratus dan dua kali ganda nilainya menjelang 2040.
Daripada 17,620 pesawat yang mendapat permintaan ketika ini, sebanyak 13,660 adalah dalam kategori kecil seperti pesawat A220 dan A320, katanya.
Ia berkata bagi kategori jarak sederhana dan panjang, Asia Pasifik akan terus memacu permintaan dengan kira-kira 42 peratus daripada keperluan global.
Secara keseluruhan, ia mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh 20 tahun akan datang, wujud keperluan untuk kira-kira 2,440 pesawat pengangkut, di mana 880 daripadanya adalah pesawat baharu, kata Airbus.
"Kami melihat pemulihan global sedang berlaku dalam trafik udara dan apabila sekatan perjalanan dilonggarkan, rantau Asia-Pasifik akan menjadi salah satu pemacu utamanya semula," kata Ketua Pegawai Komersial dan Ketua Airbus International, Christian Scherer.
"Kami juga yakin akan berlaku kenaikan semula jumlah trafik di rantau ini dan menjangkakan ia akan mencapai tahap sama seperti tahun 2019 antara tahun 2023 dan 2025," katanya.
Beliau berkata susulan daripada tumpuan utama terhadap kecekapan dan penerbangan mampan di rantau ini, produk Airbus berada pada kedudukan yang baik.
-- BERNAMA