Ranking Daya Saing: MOF, MITI tubuh jawatankuasa, baiki ranking negara

Astro Awani
Julai 18, 2024 07:52 MYT
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan beliau dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menubuhkan jawatankuasa khas dalam usaha memperbaiki ranking Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan beliau dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya, gerak kerja jawatankuasa itu telah bermula dengan perbincangan bersama semua kementerian dan agensi relevan dengan ranking tersebut.
Jelasnya, usaha itu dilakukan bagi mengenal pasti segala kelemahan yang ada sekali gus berusaha menaikkan ranking Malaysia pada tahun hadapan.
“Kita kena sedar sesetengah perkara itu kita perlu perbaiki. Sebahagian daripada itu kita boleh kawal dan ada yang di luar kawalan kita pun sebenarnya.
“Ia memerlukan kerjasama kerajaan yang menyeluruh kerana ia melibatkan semua orang.
“Daripada Kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sampailah semuanya perlu memainkan peranan masing-masing supaya naik ranking kita.
“Ini kerana sasaran dalam Ekonomi Madani, kita mahu jadi Top 12 dalam ranking WCR menjelang tahun 2033,” katanya.
Tambah beliau, segala dapatan daripada perbincangan akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian Sidang Media Pengumuman Kad Laporan Suku Kedua Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur pada Khamis.
#Amir Hamzah Azizan #Kementerian Kewangan #MITI #pbt #Tengku Zafrul