Ranhill tandatangan MoU pembangunan industri mineral

Astro Awani
April 22, 2021 17:33 MYT
Majlis menandatangani MoU itu di sebuah hotel di sini, disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
PUTRAJAYA: Satu memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang pembangunan industri mineral negara ditandatangani antara Ranhill Berhad dan Malaysian Chamber of Mines (MCOM) dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Majlis menandatangani MoU itu di sebuah hotel di sini, disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Ranhill diwakili oleh Presidennya Tan Sri Hamdan Mohamad.
Pada majlis itu, Shamsul Annuar dalam ucapannya mengalu-alukan kerjasama antara agensi kerajaan dengan penggiat industri bagi menjadikan industri mineral negara lebih cekap dan berkesan serta mengutamakan soal aspek perlombongan mampan.
Beliau berkata Malaysia bakal menjadi hab penting di peringkat global dalam pembangunan industri mineral pada masa akan datang kerana memiliki kepelbagaian sumber mineral yang berpotensi untuk diusahahasilkan secara optimum.
"Kajian tinjauan awal yang dijalankan oleh JMG menganggarkan nilai sumber mineral negara berjumlah RM4.11 trilion yang merangkumi mineral logam bernilai RM1.03 trilion, mineral bukan logam (RM2.96 trilion) dan mineral tenaga (RM0.12 trilion).
"Walaupun nilai ini masih merupakan anggaran, hakikat yang perlu kita ketahui adalah Malaysia mempunyai sumber mineral yang sangat bernilai dan mampu menjadi sebahagian kepada penyumbang utama kemajuan ekonomi negara," katanya.
Shamsul berkata melihat kepada kewujudan kepelbagaian sumber mineral di seluruh negara, ia bukan sahaja memberikan pendapatan kepada negara, malah memberi manfaat kepada kemajuan ekonomi negeri melalui aktiviti perlombongan dan pengeksportan bahan mineral yang dijalankan.
MoU ini bertujuan memastikan industri mineral mengutamakan prinsip kebertanggungjawaban dalam menjaga kelestarian alam sekitar dan sistem biodiversiti negara ketika melakukan aktivivti eksplorasi, perlombongan, pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan mineral.
MoU ini diadakan sempena pelancaran Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) oleh Perdana Menteri.
#Ranhill #MoU #pembangunan industri mineral #Malaysian Chamber of Mines #Jabatan Mineral dan Geosains #Perdana Menteri #Hamdan Mohamad
;