Ranhill SAJ operator air pertama miliki HACCP di semua LRA
Astro Awani
Disember 12, 2023 14:44 MYT
Disember 12, 2023 14:44 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali air, Ranhill SAJ mencipta sejarah dengan memiliki persijilan ‘Hazard Analysis Critical Control Point’ (HACCP) bagi kesemua 44 loji rawatan air (LRA) kendaliannya.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan Ranhill SAJ dinobat sebagai operator air pertama memiliki HACCP bagi kesemua LRA di negara ini dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pensijilan HACCP itu membuktikan proses rawatan air di negeri ini diiktiraf dalam mengawal dan meminimumkan risiko pencemaran air terawat.
“Sijil HACCP ini bukan mudah untuk dimiliki, sebaliknya perlu melalui penilaian kompleks berpandukan kehendak dan pematuhan ‘Good Manufacturing Practices (GMP)’ Piawaian MS 1480, Standard Kualiti Air Minuman Kebangsaan dan Akta Makanan 1983 oleh Kementerian Kesihatan.
“Pensijilan ini juga dapat menambah keyakinan kepada pengguna di negeri ini bahawa air yang dibekalkan adalah benar-benar selamat dan berkualiti tinggi.
“Pencapaian ini mampu menjadi elemen penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi Johor kerana kualiti air meyakinkan serta selamat adalah aspek penting dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, penternakan dan pembuatan.
"Ia sekali gus menambah keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini,” katanya selepas menyaksikan majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBOR oleh wakilnya, Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Muhamad Faizal Aliar pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Ranhill Utilities Berhad, Tan Sri Hamdan Mohamed.
Sementara itu, Muhamad Faizal berkata, pengiktirafan itu membuktikan pihaknya komited dalam aspek kesihatan dan keselamatan, khususnya melibatkan bekalan air kepada pengguna.
“Ini adalah anugerah serta pengiktirafan berprestij bagi kami. Pensijilan HACCP ini telah diterima sejak Disember tahun lalu, manakala baki dua daripada 46 LRA dalam proses akhir untuk mendapat pensijilan HACCP.
“Selepas siap kelak, ia merekodkan kesemua 46 LRA di Johor memiliki pensijilan HACCP,” katanya.