Ranhill mahu perluas sektor tenaga di Asia

Nurulhana Ismail
Mac 16, 2016 15:15 MYT
Ranhill mahu memantapkan prospeknya dalam sektor alam sekitar dan tenaga serta mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peserta penting industri di rantau Asia.
Syarikat konglomerat Malaysia, Ranhill Holdings Berhad berhasrat meluaskan perniagaannya dalam sektor alam sekitar dan tenaga di Johor, Sabah, Thailand dan China.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamdan Mohamad berkata ia sejajar dengan matlamat syarikat bagi memantapkan prospeknya dalam sektor tersebut serta mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peserta penting industri di rantau Asia.
"Sasaran kami adalah meluaskan perniagaan syarikat di Johor dalam sektor rawatan air dan pembangunan hijau dalam jangka masa beberapa tahun lagi.
"Di China pula kami berhasrat mengembangkan sektor loji rawatan air kepada kapasiti 1,000mld dalam tempoh tiga ke lima tahun lagi," kata beliau pada sesi penyenaraian syarikat di papan utama bursa di ibu negara pada Rabu.
Sementara itu, di Sabah dan Asia Tenggara, Ranhill akan menumpukan kepada sektor tenaga diperbaharuinya dengan kapasiti sehingga 1,000 megawatt.
"Kami berharap dapat meluaskan perniagaan di Sabah dalam loji gas diperbaharui baru seperti geotermal dan mini hidro selain mengembangkan perniagaan di rantau ASEAN bagi projek dan sektor yang sama dan sasaran kami adalah membangunkan kapasiti sehingga 1000 megawatt tahun akan datang," ujar beliau.
Ranhill disenarai dengan diskaun sebanyak 10 sen dari harga tawaran awal RM1.20 sen sesaham.
Pada pembukaannya, sebanyak 1.21 juta unit saham didagangkan. Setakat jam 11.30 pagi, harga saham Ranhill didagangkan pada RM1.07 sen.
Ranhill adalah syarikat kedua disenaraikan di pasaran Bursa Malaysia tahun ini.
Dalam pada itu Ketua Pegawai Kewangan Ranhill, Koh Boon Sian berkata, kelemahan pasaran China ketika ini tidak akan menjejaskan pengembangan sektor alam sekitar dan tenaganya.
Menurut Koh, pelan ekonomi China ketika ini lebih memfokuskan ke arah meningkatkan pembangunan hijau serta melestari alam sekitar.
Tambahnya, polisi tersebut akan menambah lebih peluang kepada syarikatnya yang mempunyai kepakaran dalam teknologi rawatan dan bekalan air industri di China.
Menurutnya, China menggunakan 16 peratus bekalan air bagi aktiviti harian dan ekonominya.
Bagaimanapun, sumber air negara kedua terbesar dunia itu hanya membekalkan 7 peratus
kepada penggunanya.
Ketika ini Ranhill mengendalikan sepuluh loji rawatan air minuman, air kumbahan perindustrian dan tebus guna di empat wilayah di China iaitu Henan, Anhui, Jiangxi dan Liaoning.
#Anhui #Bursa Malaysia #China #Henan #Jiangxi #Liaoning #loji rawatan air #loji tenaga #Ranhill #Ranhill Holdings Berhad #sektor alam sekitar dan tenaga #Tan Sri Hamdan Mohamad #tenaga diperbaharui
;