Rangkaian logistik meluas akan perkukuh hubungan perdagangan Malaysia-China - Loke

Bernama
Disember 19, 2023 17:05 MYT
Loke berkata, Malaysia dan China bukan sahaja memainkan peranan penting sebagai hub logistik antara satu sama lain tetapi juga kepada negara ASEAN lain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rangkaian logistik lebih meluas meliputi pengangkutan darat dan laut mampu mengeratkan lagi hubungan perdagangan antara Malaysia dan China, khususnya dengan bandar raya ChongQing.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia dan China bukan sahaja memainkan peranan penting sebagai hub logistik antara satu sama lain tetapi juga kepada negara ASEAN lain.
"Mereka (Chongqing) mahu menggunakan rangkaian pengangkutan kita, kereta api dan maritim, agar barangan boleh diniagakan lebih pantas lagi antara rantau. Jadi logistik kita perlu dilengkapkan dengan lebih baik lagi.
"Malaysia adalah hab logistik penting serta bagi ASEAN dan kita mahu menjalin lebih banyak hubungan dagangan antara Malaysia dan China, terutamanya dengan ChongQing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kerjasama dan Pertukaran Serantau Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa China (ChongQing) - Malaysia, hari ini.
Loke berkata ChongQing bukan sahaja berminat dengan produk durian dari Malaysia, malahan juga minyak sawit dari negara ini untuk dijadikan sebagai "minyak boleh dimakan" bagi tujuan kesihatan dan makanan.
Jelasnya, permintaan minyak sawit Malaysia dari China, terutamanya dari ChongQing amat tinggi dan dijangka terus meningkat.
"ChongQing penting bagi syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran yang belum dimanfaatkan lagi kerana kebanyakan perdagangan antara Malaysia dan China menumpukan kepada bahagian persisiran pantai China seperti Guangzhou, Shanghai dan Beijing.
"Jadi, ini merupakan satu lagi wilayah penting di China, terletak di bahagian barat negara itu, yang mana 50 peratus daripada penduduknya berada di wilayah itu.
"Kita boleh mengeksport lebih banyak produk dari Malaysia ke ChongQing, jadi kita perlu menggunakan kekuatan penuh logistik kita untuk menyokong eksport kita ke China," katanya.
Sehubungan itu, Loke berkata Malaysia melalui Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) juga sedang merangka hubungan jalan keretapi dari Malaysia ke Laos untuk barangan kargo.
"Dari Malaysia terus sampai ke Laos. Kalau boleh sampai ke Laos maksudnya boleh sampai ke China kerana dua negara itu bersempadan. Jadi ini memang sedang diusahakan sekarang oleh KTMB dan kita mengharapkan lebih banyak kerjasama dalam sektor keretapi ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia Tan Sri Goh Tian Chuan melahirkan harapan agar kerajaan Malaysia akan menyegerakan penilaian dan pelaksanaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura HSR).
Beliau juga berharap kerajaan akan merancang satu lagi projek kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan antara Kuala Lumpur dan bahagian utara Semenanjung bagi melancarkan lagi hubungan wilayah utara-selatan.
Mengenai Singapore-Kunming Rail Link (SKRL), yang lebih dikenali sebagai Rangkaian Kereta Api Pan-Asia yang menghubungkan China, Singapura dan semua negara di Asia Tenggara, Goh berharap kerajaan akan merebut peluang untuk melaksanakan sistem kereta api berkelajuan tinggi lebih moden bagi mengukuhkan hubungan dengan China dan negara-negara Asean lain.
"Kesalinghubungan ini memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat, memupuk kerjasama dan faedah bersama," katanya.
-- BERNAMA
#logistik #pengangkutan #Anthony Loke #China #Malaysia #perdagangan
;