Rangka tindakan ekonomi Islam ambil kira beberapa pelan jangka panjang negara
Bernama
Disember 18, 2019 17:30 MYT
Disember 18, 2019 17:30 MYT
Pembentukan rangka kerja ekonomi Islam dengan mengambil kira beberapa pelan jangka panjang negara, akan bersifat holistik melalui penerapan nilai ekonomi Islam dalam pembangunan negara secara lebih menyeluruh dan mencakupi setiap aktiviti dan rantaian ekonomi.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata perkara itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2020 supaya satu rangka kerja ekonomi Islam dapat disediakan oleh Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI).
JKKI berfungsi bagi mempromosi dan menggalakkan pembangunan kewangan Islam.
Bagi menenyediaan rangka kerja ekonomi Islam itu, Amiruddin yang juga Pengerusi JKKI berkata, JKKI akan mengambil pendekatan yang pragmatik dan turut mendokong matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
"Ini adalah bertujuan untuk memastikan matlamat utama WKB2030 iaitu menyediakan taraf hidupwajar kepada semua rakyat melalui penstrukturan semula ekonomi, menangani ketidaksamaan dan membina semula negara dapat dicapai,"katanya.
Katanya JKKI akan menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan rangka kerja tersebut dapat menyerlahkan kekuatan sedia ada negara dalam kewangan Islam.
#Datuk Amiruddin Hamzah
#holistik
#Jawatankuasa Khas Kewangan Islam
#JKKI
#pelan jangka panjang
#rangka kerja ekonomi Islam
#rantaian ekonomi
#Timbalan Menteri Kewangan