Rangka Kerja i-ESG: Bantu sektor pembuatan bersedia tembusi pasaran ESG

Astro Awani
Oktober 2, 2023 18:33 MYT
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong ketika berucap pada majlis pelancaran National Industry Environmental, Social and Governance (ESG) Framework (i-ESG Framework) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Rangka Kerja Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Industri Nasional (ESG) atau Rangka Kerja i-ESG yang dilancarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) pada Isnin, akan menyediakan sektor perkilangan negara untuk mendepani ESG, serta bakal memanfaatkan pasaran global bernilai AS$12 trilion.
Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, Rangka Kerja i-ESG ini akan memperjelaskan pelan hala tuju bagi membolehkan perniagaan menyepadukan ESG dalam operasi mereka, serta proses kawal selia yang diperlukan bagi memastikan pematuhan dan akauntabiliti.
"Objektif menyeluruh i-ESG adalah untuk mempercepatkan peralihan ke arah amalan mampan dalam kalangan syarikat pembuatan. Rangka Kerja i-ESG Fasa 1.0 akan menyediakan asas dan memupuk pembangunan ekosistem yang kukuh untuk membantu sektor industri memulakan pelaksanaan ESG.
"Segmen peralihan ini penting kerana banyak sektor industri khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Perusahaan Sederhana (PKS), tidak mampu melakukan perubahan serta-merta mengikut piawaian yang telah dimulakan oleh syarikat dalam pasaran maju," katanya dalam ucapan pelancaran yang dibacakan Timbalannya, Liew Chin Tong.
Tambahnya, ia juga mencerminkan komitmen Ekonomi MADANI terhadap keterangkuman, memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, terutamanya dalam usaha mencapai objektif ESG.
Rangka Kerja i-ESG ialah pendaya utama untuk misi Push for Net Zero, salah satu daripada empat misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan baru-baru ini.
Ia terdiri daripada empat jejalur utama bertujuan untuk menyediakan panduan dan memacu peralihan yang adil ke arah pematuhan ESG dalam sektor pembuatan, terutamanya untuk PKS.
#Persekitaran Sosial dan Tadbir Urus Industri Nasional #ESG #sektor pembuatan #Tengku Zafrul Aziz #i-ESG
;