Rang undang-undang Cukai Barang & Perkhidmatan 2014 dibentang pada Mac

Bernama
Februari 26, 2014 13:28 MYT
Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 akan di bentangkan pada mesyuarat pertama, penggal kedua Dewan Rakyat, yang bersidang mulai 10 Mac, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata proses penyediaan draf rang undang-undang itu kini di peringkat akhir dan sedang disemak oleh Peguam Negara.
"Kita (kerajaan) perlu bentangkan rang undang-undang tersebut di Parlimen tahun ini juga kerana jika tidak, GST tidak dapat dilaksanakan tahun depan.
"Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dijangka membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali pertama, kedua dan ketiga.
"Sudah tentu (pembentangan tersebut) akan didebatkan oleh semua anggota Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis 'Cukai Barang dan Perkhidmatan Malaysia: Pengajaran daripada United Kingdom dan Singapura' di sini hari ini.
Oktober lepas, semasa pembentangan Belanjawan 2014 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April 2015 pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 16 peratus.
#cukai barang dan perkhidmatan #Datuk Ahmad Maslan #GST #Menteri Kewangan
;