RAM Ratings sahkan penarafan AAA/Stabil, P1 bagi tiga program sukuk TNB

Bernama
Julai 12, 2022 06:30 MYT
Berdasarkan metodologi penarafan untuk entiti berkaitan kerajaan, TNB berkemungkinan besar menerima sokongan kerajaan yang luar biasa sekiranya berlaku kesukaran dari segi kewangan. - Gambar hiasan/TNB Careline
KUALA LUMPUR: RAM Ratings mengesahkan semula penarafan tiga program sukuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada AAA/Stabil dan P1 berdasarkan kedudukan strategik firma itu sebagai syarikat elektrik nasional Malaysia di samping prestasi operasi dan kewangannya yang berdaya tahan.
Dalam kenyataan pada Selasa, agensi penarafan itu mengesahkan kembali penarafan Program Nota Jangka Sederhana (MTN) Islam (2017/2067) RM5 bilion dan Program MTN Islam RM10 bilion (2020/2070) yang diterbitkan TNB pada AAA dengan unjuran stabil.
Selain itu, Program Kertas Komersial Islam RM2 bilion (2021/2028) TNB juga dikekal dengan penarafan P1, jelasnya.
"Selain hampir memonopoli penghantaran dan pengagihan elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah, TNB juga mengawal 52.8 peratus kapasiti terpasang di Semenanjung Malaysia sebanyak 26,744 megawatt (MW) setakat akhir Disember 2021.
"Syarikat itu juga menjalankan fungsi penting sebagai pembeli tunggal bagi kapasiti penjanaan dan tenaga elektrik yang dijana oleh pengeluar tenaga bebas di Semenanjung Malaysia melalui Single Buyer, entiti TNB," menurut RAM.
Ia menjelaskan berdasarkan metodologi penarafan untuk entiti berkaitan kerajaan, TNB berkemungkinan besar menerima sokongan kerajaan yang luar biasa sekiranya berlaku kesukaran dari segi kewangan.
Jangkaan ini disokong oleh peranan penting TNB dalam sektor tenaga Malaysia dan hubungannya yang sangat kukuh dengan kerajaan, tambahnya.
RAM menambah, prestasi kewangan TNB yang berdaya tahan disokong oleh rangka kerja peraturan berasaskan insentif memandangkan tarifnya mencerminkan kos dan memberikan pulangan stabil bagi setiap tempoh kawal selia selama tiga tahun.
Rangka kerja itu juga menjamin bahawa keuntungan terkawal TNB akan menunjukkan pertumbuhan permintaan elektrik tahunan sebanyak 1.7 peratus bagi 2022, jelas RAM.
TNB terus mendapat manfaat daripada mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), di mana sebarang pergerakan dalam kos bahan api dan penjanaan yang tidak sejajar dengan paras penanda aras, maka tarifnya akan dilaraskan dua kali setahun, dan ini melindungi keuntungannya daripada turun naik harga bahan api yang ketara, jelas RAM.
"Harga bahan api pasaran yang melonjak susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi global dan perang Rusia-Ukraine yang berpanjangan, bagaimanapun, telah memberikan tekanan mudah tunai ke atas syarikat berikutan selang masa enam bulan yang berlaku untuk memperoleh semula pembayaran.
"Ini telah ditunjukkan menerusi peningkatan hutang yang belum dibayar oleh pelanggan," menurut RAM.
Lanjutan subsidi elektrik oleh kerajaan baru-baru ini, untuk mengekalkan tarif yang dikenakan kepada pengguna akhir bagi separuh kedua 2022, membuktkan sokongan kukuh kepada TNB, tambahnya.
Mengenai kepentingan TNB di luar negara, agensi penarafan itu menjelaskan TNB sedang mengukuhkan kedudukannya dalam ruang tenaga boleh baharu (RE) United Kingdom (UK) melalui Vantage RE Ltd yang baru ditubuhkan.
Syarikat itu juga meraih perolehan daripada aset yang bermasalah, seiring dengan tumpuannya di pasaran UK, Eropah dan Asia Tenggara serta usaha untuk mencapai kapasiti RE sebanyak 8,300 MW menjelang 2025 seperti yang disasarkannya.
"Kami menjangkakan pertumbuhan seterusnya dicatatkan dari segi pelaburan hijau TNB melalui penggabungan dan pengambilalihan, pembangunan aset dan perkongsian strategik dengan peserta RE terkemuka.
"Secara keseluruhan, pelaburan antarabangsa TNB kekal menguntungkan dari segi operasi, walaupun jumlah sumbangannya kepada perolehan syarikat kekal minimum iaitu 1.4 peratus pada Disember 2021," menurut RAM.
-- BERNAMA
#RAM Ratings #penarafan #program sukuk TNB #tenaga boleh baharu
;