RAM Ratings sahkan penarafan AA3 dan P1 Malaysia Debt Ventures

Bernama
September 5, 2023 16:19 MYT
Penarafan AA3 itu meningkatkan keupayaan MDV untuk memanfaatkan dana luaran dan mengukuhkan lagi peranannya.
KUALA LUMPUR: RAM Ratings mengesahkan semula penarafan kredit korporat AA3 dan penarafan jangka pendek P1 Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) dengan prospek yang stabil.
MDV, anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) berkata turut merangkumi Program Kertas Komersial Konvensional dan Islam/Nota Jangka Sederhana RM2.0 bilion MDV yang diterbitkan pada 2022.
"Penarafan ini bukan sahaja memperlihatkan asas MDV yang kukuh dengan didokong oleh sokongan kukuh kerajaan tetapi juga peranan strategiknya sebagai pembiaya teknologi utama Malaysia.
"Ia turut menekankan sumbangan MDV dalam meningkatkan ekonomi negara, selaras dengan matlamat Malaysia untuk membangunkan sektor teknologinya serta menyokong perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV Nizam Mohamed Nadzri berkata penarafan AA3 itu meningkatkan keupayaan MDV untuk memanfaatkan dana luaran dan mengukuhkan lagi peranan pentingnya dalam mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan sektor teknologi negara.
"Pengekalan penarafan bagi program sukuk/bon MDV bernilai RM2.0 bilion ini adalah penting memandangkan dana diraih melalui program ini berupaya memastikan MDV dapat terus menyokong keperluan pembiayaan syarikat teknologi tempatan yang berpotensi tinggi seperti dalam sektor komunikasi dan teknologi dan maklumat (ICT)
"Malaysia kini berada pada tahap genting bagi transformasi digital dan tenaga serta memerlukan sektor teknologi yang pesat bagi mencapai objektif Ekonomi Madani. Justeru itu, MDV komited untuk terus memainkan peranan penting bagi merealisasikan sasaran kerajaan ini," katanya.
Sejak kali pertama MDV menerima penarafan kredit korporat pada tahun 2019 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya untuk mencapai kemandirian kewangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap sokongan kewangan secara langsung daripada kerajaan.
MDV terus mengukuhkan komitmennya untuk membantu syarikat berasaskan teknologi dan syarikat pemula teknologi yang berhadapan kekangan untuk mendapatkan akses pembiayaan dan mensasarkan untuk terus merapatkan jurang pembiayaan tersebut.
"Sebagai pembiaya teknologi utama negara, pengekalan penarafan kredit korporat MDV tersebut akan menjadi asas penting untuk MDV terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, inovasi serta kemajuan yang diterajui teknologi untuk Malaysia," kata Nizam.
-- BERNAMA
#RAM Ratings #penarafan kredit korporat #Malaysia Debt Ventures #pembiaya teknologi
;