Rakyat Malaysia yang hendak melancong ke Thailand dengan memandu atau menunggang sendiri digalakkan membeli insurans sukarela bagi memastikan perlindungan menyeluruh termasuk penghospitalan.

Konsul Jeneral Malaysia di Songhkla Mohd Afandi Abu Bakar berkata walaupun insurans wajib lebih murah berbanding insurans sukarela, perlindungan yang diberi adalah terhad dan kadarnya lebih rendah.

"Adalah penting kita mengambil insurans yang memberi perlindungan meliputi penghospitalan, khususnya kos rawatan yang tinggi, pengurusan jenazah dan tuntutan oleh pihak lain termasuk kemudahan awam yang rosak akibat kemalangan," katanya kepada Bernama, di sini pada Selasa.

Semakan dengan pihak insurans menjelaskan insurans sukarela menyamai pelan pihak pertama iaitu syarikat insurans bertanggungjawab menjelaskan semua tuntutan manakala insurans wajib pula berbentuk pelan pihak ketiga iaitu pihak pertama bertanggungjawab terhadap kerugiannya sama ada disebabkan oleh diri sendiri atau pihak ketiga.

Sementara itu, mengulas pertemuannya dengan Presiden MALTHA Riders Club Soontorn Noiboonma dan Ketua Polis Paborn di Wilayah Patthalung, Phattarawit Keetamataneeyakul semalam, Mohd Afandi berkata kedua-duanya berbincang untuk mengadakan seminar undang-undang Thailand bagi pertubuhan permotoran Malaysia dan pihak berkaitan.

Seminar itu bagi mendedahkan pihak berkaitan tentang undang-undang dan peraturan di negara ini yang perlu mereka patuhi semasa berada di Thailand, katanya.

Ini katanya termasuk penguatkuasaan undang-undang baharu larangan membuang puntung rokok di pantai di 15 wilayah di Thailand bermula 1 Feb ini.

Jabatan Sumber Marin dan Pantai Thailand ketika mengumumkan larangan itu berkata mereka yang didapati bersalah berbuat demikian boleh dihukum penjara sehingga setahun atau kompaun sehingga 100,000 baht atau kedua-duanya.

Sementara itu, mengulas kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi Malaysia pada 16 Jan lepas, Phattarawit berkata keluarga Muhammad Arif Shuhery, 34, diberi masa sehingga 1 Feb ini untuk menjelaskan tuntutan kerosakan yang dibuat oleh tiga pemilik kenderaan yang terbabit dalam nahas tersebut.

"Pemilik kenderaan hanya menuntut sebanyak 250,000 bath sebagai kos membaiki kerosakan kereta mereka kerana insurans yang dibeli oleh Muhammad Arif tidak adalah jenis 'compulsory' dan wang tersebut bukan untuk membayar polis," kata Ketua Polis Paborn itu.

Dalam kemalangan itu, motosikal yang dinaiki Muhammad Arif dan isteri Nur Arissa Ruri Ahon, 34 dikatakan merempuh sebuah kereta dan mengakibatkan dua lagi rosak dalam sekatan jalan raya di Paborn.

Ketika kejadian itu, mereka menyertai sebuah konvoi motosikal berkuasa tinggi menuju Koh Samui.

Nahas menyebabkan Nur Arissa cedera parah dan dirawat di Hospital Phattalung manakala dua buah motosikal milik rakan Muhammad Arif dijadikan cagaran dan disimpan di Balai Polis Paborn.

Mengulas perkembangan itu, Soontorn berkata MALTHA Riders Club yang diterajuinya cuba membantu mangsa namun beliau dimaklumkan mangsa membuat perjanjian dengan polis dan pemilik kenderaan terbabit.

"Nur Arissa pula meninggalkan hospital dan pulang ke Malaysia tanpa memberitahu kami," katanya sambil mengingatkan rakyat Malaysia supaya memastikan mereka membeli insurans yang sah agar tidak menghadapi masalah kelak.

MALTHA ialah gabungan penunggang motosikal berkuasa tinggi Malaysia dan Thailand yang ditubuhkan tiga tahun lepas dengan tujuan menjalankan aktiviti amal serta membantu rakyat kedua-dua negara ketika berada dalam kesusahan semasa berada di Malaysia atau Thailand.

-- BERNAMA