Rakyat Malaysia boleh buat pembayaran QR guna aplikasi Paybooc di Korea Selatan tidak lama lagi
Bernama
Jun 4, 2024 12:00 MYT
Jun 4, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia akan dapat membuat pembayaran QR di Korea Selatan menggunakan aplikasi Paybooc tidak lama lagi, hasil kerjasama antara BC Card dari Korea Selatan dan PayNet Malaysia.
Ringkasan AI
- Rakyat Malaysia akan dapat membuat pembayaran QR di Korea Selatan menggunakan aplikasi Paybooc hasil kerjasama BC Card dan PayNet Malaysia.
- Fasa pertama membolehkan rakyat Korea Selatan membuat pembayaran QR di Malaysia menggunakan aplikasi e-dompet BC Card.
- Kerjasama ini bertujuan memudahkan pelancong dan mengurangkan kos pertukaran mata wang dan transaksi kad kredit.
Bermula bulan ini, fasa pertama kerjasama ini membolehkan rakyat Korea Selatan membuat pembayaran QR di Malaysia menggunakan aplikasi e-dompet BC Card.
Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae memberitahu Bernama bahawa inisiatif yang dilancarkan baru-baru ini untuk memudahkan pelancong Malaysia dengan mengurangkan masalah dan kos yang berkaitan dengan pertukaran mata wang dan transaksi kad kredit.
"Dengan pelancaran perkhidmatan QR, saya berharap perdagangan barangan serta usaha untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara akan terus berkembang, seterusnya menjadikan negara kita rakan kongsi yang kukuh dalam sektor kewangan.
"Saya turut berharap fasa kedua perkhidmatan QR dapat dilaksanakan dengan segera supaya rakyat Malaysia juga dapat menikmati pembayaran yang mudah di Korea Selatan. Kedutaan kami dan kerajaan Korea Selatan sedia membantu," katanya.
Beliau berkata: "Dengan kemasukan BC Card ke Malaysia, negara utama di rantau ini, saya yakin ia akan terus berkembang ke negara-negara Asia Tenggara yang lain. Saya turut berharap PayNet akan menggunakan kerjasamanya dengan Korea Selatan sebagai asas untuk berkembang menjadi sebuah institusi global."
Yeo berkata kerjasama itu merupakan satu pencapaian bersejarah, kali pertama institusi kewangan Korea Selatan mempunyai hubungan secara langsung dengan rangkaian pembayaran nasional Malaysia.
Menurut data kedutaan, jumlah pelancong Korea Selatan yang melawat Malaysia telah meningkat semula dengan ketara berikutan penurunan semasa pandemik COVID-19.
Pada 2019, Malaysia menerima 673,065 pelancong dari Korea Selatan tetapi jumlah ini jatuh kepada 3,028 pada 2021 berikutan sekatan perjalanan. Bagaimanapun, dengan kelonggaran kepada sekatan ini, ketibaan meningkat kepada 400,853 pada 2023, menunjukkan pemulihan yang kukuh.
Begitu juga, pelancong Malaysia yang melancong ke Korea Selatan menyaksikan peningkatan semula yang ketara.
Daripada 408,590 pengunjung pada 2019, jumlahnya merosot kepada 4,488 pada 2021 tetapi melonjak kepada 259,872 pada 2023 dengan pembukaan semula perjalanan antarabangsa, menyaksikan pertumbuhan semula sektor pelancongan yang kukuh antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA