Rakuten unjur ringgit mengukuh kepada 4.2000/3000 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun
Bernama
September 26, 2023 13:46 MYT
September 26, 2023 13:46 MYT
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh sekitar julat 4.2000/3000 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2023, disokong oleh jangkaan langkah-langkah pelonggaran di Amerika Syarikat (AS), demikian menurut Rakuten Trade Sdn Bhd.
Ketua Penyelidikan Kenny Yee Shee Phin berkata AS kekal sebagai pusat ketidakstabilan pasaran global dalam usaha memerangi inflasi yang berterusan di seluruh dunia.
"Wall Street akan terus menjadi pusat ketidakstabilan bagi pasaran global dengan Rizab Persekutuan AS dilihat cuba mengemudi senario penurunan sederhana untuk ekonomi AS. Rizab Persekutuan mungkin terlalu bersemangat dengan langkah-langkah pelonggaran kuantitatifnya, dengan menyuntik hampir AS$9 trilion.
"Walaupun pengurangan berterusan sebanyak AS$95 bilion sebulan, kadar tersebut terlalu perlahan untuk memberi kesan, sekali gus menunjukkan ketidakupayaannya untuk memerangi inflasi semasa," katanya semasa webinar mengenai prospek pasaran suku keempat hari ini.
Selain itu, beliau menambah pemberhentian secara besar-besaran oleh syarikat teknologi AS pada awal 2023, yang masih berlanjutan, gagal mengurangkan inflasi, kerana kadar pengangguran keseluruhan di AS kini berada pada 3.8 peratus.
"Walaupun Wall Street mengalami penguncupan dalam penilaian pasaran, nilai tersebut tetap tinggi jika dibandingkan dengan sejarahnya. Namun begitu, AS masih dilimpahi dengan mudah tunai," tambahnya.
"Justeru, tatkala kita memasuki suku akhir 2023 dengan lebih banyak kenaikan kadar faedah yang dijangkakan di AS, sama ada AS dapat menguruskan pelarasan ekonomi yang terkawal dengan berjaya atau tidak masih belum pasti," tambah beliau.
-- BERNAMA