Rafizi lancar PuTERA35, angkat martabat bumiputera
Astro Awani
Ogos 19, 2024 16:55 MYT
Ogos 19, 2024 16:55 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dalam usaha mengangkat darjat dan martabat Bumputera sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata PuTERA35 disokong oleh tiga teras sejajar dengan Ekonomi Madani iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi; serta menegakkan keadilan sosial.
Pelan tersebut yang merentas tempoh 10 tahun sehingga 2035 disifatkan sebagai lebih inklusif dan anjakan besar dalam membawa pembangunan bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.
"Berpaksikan semangat inklusif, Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan bahawa agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.
"Ini sama sekali, tidak akan menafikan hak kaum lain sebaliknya,mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara.
"Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak rakan-rakan Kabinet saya, penjawat awam, pihak swasta serta yang lain untuk bersama-sama berusaha untuk memastikan apa yang diaspirasikan dalam PuTERA35 dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PuTERA35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.
Hadir sama merasmikan pelancaran tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi dalam kenyataan berasingan memaklumkan pelaksanaan PuTERA35 akan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Jelas kementerian itu, pelaporan dan pemantauan secara sistematik dan bersepadu melalui dashboard akan membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh serta langkah intervensi dapat diambil dengan segera.
PuTERA35 yang dibangunkan dengan tema Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) Bumiputera turut melibatkan 12 Pemacu dan 132 Ikhtiar.
Berikut adalah teras, pemacu dan ikhtiar tersebut:
Teras 1: Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara
- Lima Pemacu dan 71 Ikhtiar telah dikenal pasti dalam memperkukuh pasak ekonomi melalui penguasaan ekonomi; peningkatan daya saing dan penskalaan; pembangunan bakat dan pemerkasaan ekosistem pendidikan; penciptaan kekayaan; dan peningkatan pemilikan ekuiti.
- Setiap pemacu ini dilengkapi dengan ikhtiar dan pelan tindakan yang komprehensif bagi menangani isu dan cabaran utama yang telah dikenal pasti.
Teras 2: Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi
- Tiga pemacu dan 20 ikhtiar dikenal pasti dalam memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi melalui penyampaian perkhidmatan dan tatakelola; penyertaan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); serta penghayatan dan falsafah bumiputera.
- Pemacu ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dan keharmonian dalam kalangan semua pihak untuk memastikan keseluruhan ekosistem perniagaan dimanfaatkan bagi menyokong pelaksanaan agenda bumiputera.
Teras 3: Menegakkan Keadilan Sosial
- Empat pemacu dan 41 ikhtiar dikenal pasti dalam menegakkan keadilan sosial melalui usaha membasmi kemiskinan tegar; memperkukuh sistem perlindungan sosial; membangunkan sosioekonomi Orang Asli; dan memperkukuh pembangunan Sabah dan Sarawak.
- Pemacu ini member tumpuan untuk mengukuhkan pembangunan wilayah yang lebih seimbang, merapatkan jurang ekonomi dan infrastruktur serta mencapai matlamat pendekatan baharu dalam agenda bumputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.