QSR Brands rancang peluang lebih baik untuk kembangkan eksport

Wan Syamsul Amly
Disember 7, 2019 08:00 MYT
MOHD ROSLAN: Semua ini memberikan kita motivasi untuk berkembang dengan lebih luas lagi, dan mempelbagaikan lagi produk tawaran kepada masyarakat di luar sana. - Gambar ihalalfoundation.org
QSR Brands merancang peluang lebih baik untuk eksport selain mengembangkan perniagaan sedia ada di Singapura, Brunei dan Kemboja selain di dalam negara.
Penasihat QSR Brands, Mohd Roslan Mohd Saludin berkata pihaknya juga akan mencuba mengatasi beberapa cabaran asas iaitu ayam yang terhad dalam pengeluaran.
"Sejak 10 tahun kebelakangan ini, atau sejak diambil alih Johor Corporation, pengguna khususnya mereka yang hendak melihat halal itu satu yang dipegang teguh oleh pihak syarikat telah dapat kita lihat dengan sokongan yang begitu baik ke semua jenama kita iaitu KFC, Pizza Hut dan Ayamas.
"Semua ini memberikan kita motivasi untuk berkembang dengan lebih luas lagi, dan mempelbagaikan lagi produk tawaran kepada masyarakat di luar sana.
"Kita akan usahakan dan pastikan ia halal dan terus komited kepada pelaksanaan halal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas KFC Malaysia, antara jenama dari QSR Brands yang juga pengendali jenama Pizza Hut Malaysia, Ayamas dan Life menerima Anugerah Restoran Makanan Segera Terbaik di bawah Kategori Anugerah Jenama pada Anugerah Jenama Halal Asia (AHBA) 2019.
Anugerah itu mengiktiraf komitmen berterusan KFC Malaysia dalam menyediakan hidangan ayam KFC halal kepada rakyat Malaysia.
Anugerah itu diterima Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.
Pada majlis itu juga, Presiden dan Ketua Eksekutif, Johor Corporation dan Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dinobat sebagai penerima Anugerah Personaliti.
AHBA merupakan penganugerahan serantau terkemuka yang mengiktiraf jenama halal terbaik ke peringkat antarabangsa.
Ia meliputi sektor seperti makanan dan minuman, hotel dan pelancongan, kecantikan dan kosmetik, penjagaan kesihatan dan perubatan, fesyen serta perkhidmatan perbankan dan kewangan.
Anugerah itu diaudit oleh firma perunding perakaunan profesional HML & Co.
Sementara itu, Pengarah Urusan Armani Media Group yang juga Pengerusi Penganjur, Datuk KK Chua menjelaskan, pihaknya berjaya mengumpulkan sebanyak 730 jenama halal untuk menyertai majlis berkenaan.
Pihaknya juga menyatakan menerima 433 pencalonan dari tujuh negara selain 55 penerima anugerah diumum pada majlis itu.
#AHBA #Asia #Brunei #Halal #hotel #jenama #kesihatan #pelancongan #perakaunan #perubatan #presiden #Singapura
;