Qatar anggap Malaysia rakan pelaburan, perdagangan penting
Bernama
September 23, 2021 04:15 MYT
September 23, 2021 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Qatar menganggap Malaysia sebagai rakan pelaburan serta perdagangannya yang penting dan pasaran negara itu sentiasa terbuka untuk mana-mana syarikat Malaysia yang berhasrat menceburi perniagaan di sana.
Dalam kenyataan pada Khamis, Pengerusi Qatar bagi Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Qatar (MQJBC), Dr Muhammed Gohar Muhammed berkata kerjasama antara kedua-dua negara itu juga telah menyaksikan beberapa perkembangan yang membuahkan hasil selain kunjungan, perbincangan, perjanjian dan pandangan sama yang dikongsi terutamanya di peringkat pemimpin.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersempena mesyuarat pertama MQJBC yang telah diadakan secara maya, baru-baru ini.
Sementara itu Pengerusi Malaysia bagi MQJBC, Datuk Mohamed Razeek Md Hussain pula menyifatkan langkah memperdalam serta membangunkan hubungan ekonomi kedua-dua negara itu sebagai teras perniagaan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan akses serta meninjau peluang baharu.
Menurutnya, ini juga penting dalam usaha memulihkan perniagaan susulan impak buruk pandemik COVID-19 sejak hampir dua tahun lepas.
"Justeru, kami melihat mesyuarat yang diadakan julung kali ini sebagai perkembangan yang bermakna dan dialu-alukan, terutamanya susulan kunjungan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Qatar pada awal tahun ini serta pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya di sana.
"Malaysia dan Qatar juga masing-masing dapat berperanan sebagai pintu masuk ke ASEAN dan GCC (Majlis Kerjasama Teluk)," katanya.
MQJBC ditubuhkan pada akhir 2019 dan berperanan sebagai platform bagi sektor swasta mempromosi serta memudahkan usaha mengeratkan interaksi dalam kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara selain mempertingkat hasil positif melibatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Qatar.
Majlis perniagaan itu ditubuhkan serta tertakluk di bawah memorandum perjanjian yang dimeterai antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan Qatar pada 2017 bersempena lawatan rasmi Emir Qatar ke Malaysia.
-- BERNAMA