SYDNEY: Syarikat penerbangan terkemuka Australia, Kumpulan Qantas mencatat keuntungan sebanyak AS$874 juta bagi tempoh Julai-Disember 2024, didorong oleh peningkatan jumlah pelanggan, lapor Xinhua.

Kumpulan Qantas Group terdiri daripada Qantas dan syarikat penerbangan tambang rendah Jetstar, pada Khamis mengumumkan keuntungan asas sebelum cukai sebanyak A$1.39 bilion (AS$874.2 juta) bagi tempoh enam bulan itu.

Ia menunjukkan peningkatan 11 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Menurut kumpulan itu, jumlah pelanggan yang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangannya meningkat hampir 10 peratus, dengan Jetstar mencatat rekod jumlah penumpang tertinggi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi dan merekodkan peningkatan 54 peratus dalam pendapatan domestik berbanding tahun sebelumnya.

"Prestasi kumpulan ini menonjolkan manfaat memiliki syarikat penerbangan premium dan tambang rendah serta program kesetiaan yang kukuh," kata Ketua Pegawai Eksekutif Vanessa Hudson, dalam satu kenyataan.

"Penting untuk dinyatakan bahawa Jetstar telah membantu lebih ramai rakyat Australia melancong dengan kos yang lebih rendah."

Susulan peningkatan prestasi itu, Hudson berkata syarikat kini berada dalam kedudukan untuk membayar dividen buat kali pertama sejak 2019. - BERNAMA-XINHUA