Pusat Timbang Tara Asia harap kontrak binaan patuh syariah tarik pelabur tempatan dan asing

Bernama
Januari 18, 2024 07:40 MYT
Tun Zaki ketika berucap pada Majlis Pelancaran AIAC i-SFC 2024 di bangunan AIAC Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) berharap kontrak pembinaan bangunan berpiawaian Islam (i-SFC) 2024 yang dilancarkan pada Khamis dapat menarik pelaburan yang meluas dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu i-SFC 2024 Tun Zaki Azmi berkata dengan menanam keyakinan melalui amalan patuh syariah dalam industri pembinaan akan memberi manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada matlamat pembangunan mampan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Perbankan Islam di seluruh dunia sedang berkembang maju dengan aset dijangka mencecah AS$3.8 trilion pada 2023. Justeru, AIAC i-SFC 2024 ini menyasarkan untuk memanfaatkan momentum yang berkembang pesat ini, serta mengubah pertumbuhan kewangan kepada kemajuan infrastruktur yang ketara di negara kita.
"Ia bukan hanya sekadar kontrak, tetapi ia akan menjadi saluran untuk menghidupkan ekonomi, dengan menyalurkan prinsip syariah ke dalam rangka kerja pertumbuhan negara kita," katanya pada pelancaran kontrak itu di sini semalam.
Bekas ketua hakim negara itu berkata kontrak berkenaan, yang berlandaskan amalan patuh syariah, mencerminkan kebijaksanaan dan keadilan undang-undang syariah dan berfungsi sebagai panduan untuk transaksi yang memenuhi etika dan kerohanian.
Sementara itu, bekas dekan Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Khairuddin Abdul Rashid berkata pemahaman yang terhad merupakan antara cabaran untuk melaksanakan amalan syariah dalam industri pembinaan.
"Kekurangan penerbitan (maklumat) mengenai syariah dan aplikasinya menyumbang kepada terhadnya kefahaman dalam usaha membina kontrak yang patuh syariah," katanya semasa forum "Syariah Dalam Pembinaan: Pandangan dan Potensi Penggunaan Syariah Dalam Industri Pembinaan" pada Khamis.
Pengarah AIAC Datuk Sundra Rajoo berkata i-SFC 2024, yang disesuaikan mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia dan Organisasi Perakaunan dan Pengauditan untuk Institusi Kewangan Islam, adalah kontrak patuh syariah pertama di dunia.
-- BERNAMA
#Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia #i-SFC 2024 #pelabur #patuh syariah
;