Pusat beli-belah AEON Alpha Angle akan jalani proses transformasi selepas 30 tahun
Dagang News
November 19, 2021 11:02 MYT
November 19, 2021 11:02 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah hampir 30 tahun beroperasi, pusat beli-belah AEON Alpha Angle di Wangsa Maju kini menjalani proses pengubah suaian dan penambah baikan untuk keselesaan para pengunjung.
Sejak dibuka pada April 1992, AEON Alpha Angle telah menjadi mercu tanda Wangsa Maju dan menjadi lokasi aktiviti sosial dan riadah kepada pengunjung.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, kerja-kerja pengubah suaian itu dijangka siap sepenuhnya pada April 2022.
Katanya, bagi permulaan projek ini, bahagian yang terlibat di dalam proses transformasi kebanyakannya di zon Atrium selain beberapa bahagian akan turut melalui proses perubahan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.
“Kami berasa amat bersyukur kerana selama hampir 30 tahun, AEON Alpha Angle teguh berdiri dan menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk setempat.
"Selain berwajah baharu, beberapa penambahbaikan dari segi perkhidmatan juga akan dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Transformasi itu akan melibatkan pemasangan panel tenaga solar yang akan menjadikan AEON Alpha Angle sebagai cawangan kedua yang akan menggunakan tenaga solar selepas AEON Taman Maluri
“Kami berasa amat bertuah kerana AEON Alpha Angle dikenal pasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai lokasi pertama inisiatif perbandaran karbon sifar.
"Inisiatif ini sudah semestinya dapat memperkasakan lagi aspirasi AEON untuk turut sama memastikan kelestarian alam sekitar,”kata Shafie.
* Artikel asal disiarkan di Dagangnews.com.