Pupuk bakat untuk penuhi permintaan ekonomi baharu - Rosmah

Bernama
Jun 14, 2013 11:45 MYT
Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyeru golongan profesional dalam sumber manusia agar bersama-sama memacu agenda pembangunan bakat-bakat terbaik untuk memenuhi permintaan ekonomi baharu.
Pada masa sama, beliau berkata mereka perlu mengingatkan semua pihak terlibat mengenai pentingnya memupuk bakat untuk tujuan itu.
"Untuk menyokong fungsi sumber manusia baharu, bakat tetap menjadi keutamaan dalam banyak organisasi. Ini bukan disebabkan kekurangan pekerja, tetapi lebih kepada kekurangan bakat yang berkaitan kemahiran kritikal dan kecekapan.
"Di semua negara kini, sama ada maju atau membangun, terdapat permintaan tinggi untuk bakat yang terbaik dan kita menyaksikan perlumbaan global untuk itu," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Anugerah Kongres Pembangunan Sumber Manusia Asia (HRD) Ke-12, di Jakarta, Khamis.
Rosmah ialah tetamu kehormat pada majlis itu. Hadir sama isteri Duta Malaysia ke Indonesia Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.
Rosmah berkata membangunkan bakat terbaik untuk ekonomi baharu bukan hanya tanggungjawab pengamal sumber manusia tetapi memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta, ahli akademik dan kumpulan berkepentingan lain.
"Tidak ada pihak yang boleh menangani isu-isu mengenai bakat secara bersendirian kerana ia melibatkan pelbagai sektor bermula daripada pendidikan untuk menyediakan bakat dengan pengetahuan dan kemahiran yang perlu, hingga kepada kemahuan dan komitmen majikan untuk memperkembangkan bakat, juga dasar-dasar kerajaan bagi memacu kecemerlangan, pemikiran dan sikap untuk permintaan pasaran kerja," katanya.
Rosmah berkata Malaysia percaya dalam fungsi penting sumber manusia sebagai badan pembangunan kecemerlangan dalam proses negara berevolusi dari era industri pada tahun 70-an dan 80-an kepada era maklumat dalam tahun 90-an.
"Kemahiran teknologi dan kemampuan intelektual menjadi fokus dalam awal tahun 2000 apabila Malaysia bergerak ke arah ekonomi berdasarkan pengetahuan dan berpandukan inovasi," katanya.
Ini, kata beliau akan menjadi lebih penting apabila negara memulakan program transformasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, lebih inklusif dan membentuk ekonomi yang mampan dalam masyarakat global.
"Selaras dengan itu, kerajaan Malaysia melaksanakan usaha besar-besaran untuk memudahkan pembangunan modal insan secara menyeluruh di pelbagai sektor dalam usaha untuk memenuhi keperluan negara," katanya.
Mengenai penyertaan wanita, Rosmah berkata usaha untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak dua peratus setahun, kerajaan Malaysia menyasarkan 55 peratus penyertaan wanita dalam tenaga kerja menjelang 2016.
Pada majlis itu, Rosmah menyampaikan anugerah kepada 24 penerima dalam empat kategori iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Sumbangan untuk Masyarakat, Anugerah Sumbangan untuk Organisasi dan Anugerah Sumbangan untuk Komuniti Sumber Manusia.
Penerima dari Malaysia termasuk Naib Canselor Universiti Utara Malaysia Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak (Sumbangan untuk Masyarakat), Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat Datuk Ibrahim Ahmad (Sumbangan untuk Organisasi) dan Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran SapuraAcergy Sdn Bhd, Mohd Bakhtiar Mohd Pahroraji (Sumbangan untuk Komuniti Sumber Manusia).
#Ibrahim Ahmad #MARA #Mohamed Mustafa Ishak #Mohd Bakhtiar Mohd Pahroraji #Rosmah Mansor #sumber manusia
;