Puncak Niaga, Syabas kini milik Pengurusan Air Selangor - Ongkili

Bernama
November 12, 2014 08:47 MYT
ONGKILI: Puncak Niaga, Syabas kini milik Pengurusan Air Selangor. - Gambar Fail
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd kini menjadi pemilik baharu kepada Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) susulan pemeteraian penjanjian jual beli saham antara Pengurusan Air Selangor dengan Puncak Niaga Holdings Bhd.
Puncak Niaga Holdings Bhd adalah pemegang 100 peratus saham dalam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan memegang 70 peratus saham dalam Syabas.
Pemeteraian perjanjian tersebut merupakan titik permulaan kepada pelaksanaan Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 September lepas antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Bhd dan Pengurusan Air Selangor.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, pemilikan baru tersebut akan membolehkan langkah-langkah seterusnya diambil untuk memuktamadkan perstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Pemeteraian ini juga bermakna Pengurusan Air Selangor akan mula mengambil alih sebahagian besar daripada perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur bagi mencapai hasrat kerajaan Negeri Selangor untuk menguruskan sendiri industri perkhidmatan air di negeri itu," katanya selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut di sini pada hari Selasa.
Pada majlis itu, Pengurusan Air Selangor diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaruzaman manakala Puncak Niaga diwakili oleh Datuk Ruslan Hassan.
Sementara itu, Ongkili berkata bagi Konsortium Abass (Abass) yang dimiliki sebanyak 90.83 peratus oleh Kumpulan Perangsang Selangor dan bakinya oleh Operasi Murni (M) Sdn Bhd, ia mempunyai empat bulan lagi untuk menyelesaikan transaksi penjualan ekuitinya kepada Pengurusan Air Selangor.
"Manakala, bagi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) pengambilan ekuitinya dijangka dapat diselesai dalam tempoh 10 bulan," kata Ongkili.
Menteri tersebut berkata pengambilalihan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syabas dan Abass itu akan melibatkan peruntukan berjumlah RM7.8 bilion daripada RM9.65 bilion yang ditawarkan oleh kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi oleh Pengurusan Air Selangor.
Dalam tawaran pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Bhd telah menawarkan RM9.65 bilion termasuk RM2 bilion yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Bhd bagi membantu kerajaan Selangor mengambilalih bagi syarikat-syarikat tersebut.
"Kerajaan Persekutuan amat gembira dengan perkembangan ini yang merupakan salah satu langkah bagi menjamin kemampanan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.
Semasa ditanya mengenai semakan semula tarif air selepas pengambilalihan itu, Ongkili berkata itu terserah kepada kerajaan Negeri Selangor menentukannya.
Pengurusan Air Selangor adalah syarikat perantara tujuan khas yang diwujudkan oleh kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih semua syarikat konsesi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
#air #hijau #niaga #ongkili #puncak #Putrajaya #Selangor #SYABAS
;