Puncak Niaga rayu keputusan mahkamah batal saman RM14 bilion
Bernama
Februari 23, 2018 21:13 MYT
Februari 23, 2018 21:13 MYT
Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini, yang membatalkan saman hampir RM14 bilion syarikat itu terhadap bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dua pihak lain berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.
Turut dinamakan sebagai defendan dalam kes itu adalah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Selangor.
Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah mengarahkan peguam untuk memfailkan rayuan itu di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.
Semalam, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk membatalkan saman berkenaan selepas membenarkan permohonan Abdul Khalid, Mohamed Azmin dan kerajaan Selangor bagi membatalkan saman Puncak Niaga, masing-masing yang difailkan pada November, Disember dan Januari lepas.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Akhtar mendapati pernyataan tuntutan Puncak Niaga gagal mematuhi Kaedah-kaedah Mahkamah dan beliau turut memerintahkan syarikat konsesi air itu membayar kos RM25,000 kepada setiap defendan.
Mohamed Azmin turut memfailkan tuntutan balas terhadap Puncak Niaga dan mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk keputusan.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Okt tahun lalu, Puncak Niaga antara lain mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka sebagai menteri besar dengan mengancam untuk menyebab atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.
Plaintif antara lain mendakwa penangguhan rundingan berkenaan usaha penyusunan semula industri air di Selangor selama lima tahun menjadi manfaat politik peribadi Abdul Khalid dan Mohamed Azmin, selain mendakwa rundingan tersebut tidak dilakukan atas dasar 'willing buyer-willing seller' (urus niaga suka sama suka) sehingga menyebabkan plaintif mengalami kerugian serta kerosakan.
Sehubungan itu, Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.
Pada masa sama, plaintif juga menuntut ganti rugi berhubung perbezaan antara nilai PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada kadar RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion.
Selain itu, plaintif menuntut pertimbangan pembelian sebenar berjumlah RM1.56 bilion di bawah Perjanjian Pembelian Saham bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. -- Bernama
#Azmin Ali
#industri air selangor
#Khalid Ibrahim
#MB Selangor
#Menteri Besar Selangor
#Puncak Niaga
#Rozali Ismail