PUNB minta MAHB kaji semula kadar sewa premis klia2

Bernama
November 15, 2014 00:32 MYT
PUNB minta MAHB kaji semula kadar sewa premis klia2
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) meminta Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) mengkaji semula kadar sewaan premis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi membantu usahawan bumiputera yang beroperasi di situ.
Pengerusinya Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata ini bagi memastikan peniaga di klia2 dapat terus mengekalkan operasi perniagaan mereka dan terus berdaya saing.
Beliau turut mencadangkan supaya pihak MAHB membuat skim sewaan yang lebih rendah dan mempergiatkan lagi promosi.
"Saya rasa MAHB kena buat skim sewaan mula-mula rendah kemudian meningkat sedikit demi sedikit.
"Ini berdasarkan tinjauan di beberapa premis besar yang memberi keistimewaan sewa tiga bulan percuma kepada peniaga," katanya ketika mengulas mengenai kadar sewa premis yang agak tinggi di klia2.
Mohd Ali berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan khas bersama pengerusi, ahli lembaga pengarah dan kumpulan pengurusan PUNB bersama Bumiputera Retail Organisation (BRO) dan Auto-Pro di klia2, di sini, hari ini.
#Bumiputera #MAHB #PUNB