PUNB lantik Azhar Ahmad Ketua Pegawai Eksekutif baharu

Bernama
Jun 1, 2017 12:09 MYT
Gabungan kepakaran dan pengalaman luas Azhar dan Lembaga Pengarah PUNB akan memantapkan kedudukan perbadanan itu bagi mencapai visinya sebagai pusat kecemerlangan terulung. - Twitter.com / PUNB @punb_official
Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) melantik Datuk Azhar Ahmad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya berkuatkuasa hari ini, menggantikan Datuk Dzulkifli Fadzilah yang tamat perkhidmatan pada Rabu.
PUNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, gabungan kepakaran dan pengalaman luas Azhar dan Lembaga Pengarah PUNB akan memantapkan kedudukan perbadanan itu bagi mencapai visinya sebagai pusat kecemerlangan terulung dalam pembangunan keusahawanan Bumiputera di negara ini.
Azhar, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Kredit di Bahagian Kewangan Hartanah di Credit Corporation (M) Bhd pada 1981, kemudian menyertai Bolton Finance Bhd dan Hong Leong Finance Bhd dari 1990 hingga 2003.
Beliau kemudiannya menyertai Bank Islam Malaysia Bhd pada 2003 hingga 2010 sebelum memulakan khidmat dengan RHB Bank Bhd sebagai Naib Presiden.
-- BERNAMA
#Datuk Azhar Ahmad #Datuk Dzulkifli Fadzilah #Ketua Pegawai Eksekutif #PUNB #usahawan
;