Pulau Pinang tarik pelaburan berimpak tinggi bernilai RM22.7 bilion pada 2022

Bernama
Mei 19, 2023 05:45 MYT
Menurut NCIA, dalam membina ekosistem yang kukuh dan mampan berhubung landskap perindustrian dan ekonomi negeri, ia mewujudkan hab teknologi dan inovasi yang dinamakan NTIC. - Foto fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Pulau Pinang mencatatkan pelaburan berimpak tinggi bernilai RM22.7 bilion dengan 18,844 pekerjaan dijana pada tahun lepas berikutan pertumbuhan yang berterusan dan pembangunan industri berkaitan teknologi di negeri ini.
Menurut Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam kenyataan, dalam membina ekosistem yang kukuh dan mampan berhubung landskap perindustrian dan ekonomi negeri, ia mewujudkan hab teknologi dan inovasi yang dinamakan Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).
Katanya penubuhan NTIC akan menjadi langkah penting dalam memudahkan inovasi dan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui kerjasama dengan syarikat multinasional dan ahli akademik, selain turut menyediakan platform pembangunan tenaga kerja untuk menyokong keperluan industri.
Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata pusat itu merupakan aspek penting dalam strateginya untuk terus membangunkan industri berkaitan teknologi di negeri ini ke peringkat seterusnya.
"Kami percaya dengan bekerjasama rapat dengan syarikat multinasional, PKS tempatan dan ahli akademik, kami dapat mewujudkan ekosistem yang berdaya maju yang akan menarik lebih banyak perniagaan ke rantau ini dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi Wilayah Ekonomi Koridor Utara secara keseluruhannya.
"Kami percaya ini akan membolehkan Pulau Pinang mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama dan hab untuk pembangunan teknologi di rantau ini," katanya.
Selain memberi tumpuan kepada industri berkaitan teknologi, NCIA berkata pihaknya komited untuk mempromosikan sektor utama lain di Pulau Pinang, iaitu pelancongan, logistik dan perladangan pintar, yang penting kepada ekonomi negeri untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata negeri komited untuk bekerjasama rapat dengan NCIA dan kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan tarikan negeri ini kepada pelabur dalam sektor elektronik dan elektrik, semikonduktor serta pembuatan dan kejuruteraan.
"Kami juga komited untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju serantau dalam teknologi maju, tenaga kerja bernilai tinggi dan inovasi teknologi, menjadikan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pelaburan teknologi utama di dunia," katanya.
-- BERNAMA
#Chow Kon Yeow #pulau pinang #NTIC #PKS
;